Aktivis yang juga influencer pendidikan, Cikgu Fadhli Salleh berkongsi rasa gembira atas kejayaan pasangan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani atau lebih dikenali sebagai FeiDin menjuarai Terbuka India.
Atas kejayaan tersebut, beliau yang kini berperanan sebagai CEO SyukorFarm menawarkan hadiah menarik buat pasangan sensasi itu yang bergelar juara dengan menewaskan beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
“Tahniah pada DinFei, pasangan beregu lelaki nombor satu Malaysia dan nombor dua dunia. Gandingan mantap antara dua kaum berbeza ini diharap memupuk lebih tinggi sikap perpaduan dan keharmonian antara rakyat Malaysia.
“Jika DinFei terbaca artikel ini, mohon respon ya. Syukor Majid (pemilik SyukorFarm) ingin memberi hadiah 3 ekor ayam dan 4 pek kambing perap setiap seorang secara percuma sebagai tanda sokongan kami pada kalian,” ujarnya.
Dalam aksi final pada Ahad, FeiDin mempamer sentuhan tajam di jaring dan penguasaan dalam pertukaran pantas pendek untuk merangkul kejuaraan sulung tahun ini sekaligus menebus kekecewaan di Terbuka Malaysia dua minggu lalu.
Baca Juga: Letshanaa Tidak Kisah Dengan Kritikan Rexy Mainaky
Perlawanan berlangsung sengit hingga ke set penentuan sekaligus menyaksikan debaran tahap tinggi baik buat penonton di stadium mahupun di kaca televisyen.
FeiDin berjaya memanfaatkan peluang penting pada detik-detik yang paling kritikal untuk memastikan kemenangan 21-15, 13-21 dan 21-16 dalam masa 52 minit.
Ia juga sekaligus menoktahkan penantian 15 tahun untuk pasangan beregu lelaki negara menjuarai Terbuka India, sejak kali terakhir dilakukan oleh Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari pada 2010, membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM316,212.28.
“Kami gembira kerana berjaya mengatasi cabaran minggu lalu. Won Ho-Seung Jae jarang membuat kesilapan sendiri, jadi komunikasi antara kami di gelanggang amat penting.
“Mereka menambah kelajuan permainan pada set kedua, jadi kami perlu menyesuaikan diri dengan pantas. Pingat ini bukan hanya bermakna kepada kami tetapi juga kepada seluruh pasukan, jadi terima kasih kepada mereka,” kata Sze Fei.
Keperibadian Nur Izzuddin Dipuji
Dalam pada itu, Cikgu Fadli turut memuji keperibadian Nur Izzuddin yang tidak bersalam dengan wanita ketika majlis penyampaian hadiah dan mengharapkan pemain berusia 27 tahun itu akan terus menjadi role model yang baik.
“Cara itu ditunjukkan bagi memberi faham pada penganjur wanita yang menyampaikan hadiah bahawa umat Islam tidak boleh bersentuh antara lelaki dan perempuan bukan muhrim.
“Awal-awal dulu, ada netizen (Melayu Islam) yang memandang serong kononnya tidak menghormati majlis dan sepatutnya menyambut tangan untuk menjaga maruah penganjur. Ironinya, tindakan itu dipuji oleh ramai non-muslim dari seluruh dunia. Mereka kagum dan menghormati Izzuddin kerana perbuatan itu menunjukkan dia Muslim yang taat.
“Penganjur juga tidak terasa maruah mereka tercalar kerana Izzuddin tetap memberikan penghormatan dengan cara tersendiri,” tambah beliau.
Foto Ehsan: AFP