HomeRencana9 Bintang EPL Berkelas Dunia Yang Tolak Tawaran Real Madrid

9 Bintang EPL Berkelas Dunia Yang Tolak Tawaran Real Madrid

Real Madrid tanpa ragu merupakan kelab paling berjaya di Eropah dan mampu menarik mana-mana pemain terbaik di dunia untuk datang ke Santiago Bernabeu.

Beraksi dengan kelab terbaik dunia adalah impian mana-mana pemain, siapa yang tidak mahu masuk ke kelab kaya dengan sejarah, dilimpahi kemashyuran dan wang ringgit serta gaya hidup mewah.

Ronaldo, Zinedine Zidane, Roberto Carlos, Luis Figo, David Beckham, Kaka, Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema hanyalah sebilangan kecil bintang bolasepak dunia yang berjaya dipancing Los Blancos.

Begitupun, di sebalik reputasi megah, jangan tak tahu, ada juga nama-nama besar yang menolak perpindahan ke kelab gergasi Sepanyol itu.

Otai Station menyenaraikan 9 bintang berkelas dunia daripada English Premier League (EPL) yang tolak tawaran menyertai Real Madrid.

Steven Gerrard

Ikon Liverpool ini cuba dipancing Jose Mourinho menyertai Chelsea pada 2005, namun tidak berhasil. Kemudian apabila Mourinho menyertai Real Madrid pada 2010, Gerrard adalah antara pemain yang mahu didapatkannya, tetapi turut gagal.

Dalam satu temuramah, Gerrard memberitahu lamaran pertama daripada Real Madrid hadir sebelum itu lagi, pada 2008.

“Saya menerima tawaran daripada Real Madrid dan Chelsea, tetapi hati saya sentiasa bersama Liverpool. Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan tolak tawaran mereka. Jika saya boleh undur kembali masa, saya tetap akan buat keputusan sama.”

Luis Suarez

Sensasi Liverpool ini sudah begitu hampir menyertai Real Madrid, tetapi kemudian tolak tawaran mereka untuk menyertai Barcelona.

“Sebelum Piala Dunia, ejen saya sudah bercakap dengan Real Madrid. Mereka mahu dapatkan saya kerana nak jual Benzema kepada Arsenal. Semuanya berada dalam landasan betul, persetujuan telah dicapai.

“Apabila Piala Dunia bermula, Barcelona pula menunjukkan minat. Kemudian berlaku insiden saya gigit Giorgio Chiellini dan dihukum. Disebabkan itu, Real seperti tidak bersungguh nak teruskan tetapi berbeza pula dengan Barcelona.

“Luis Enrique betul-betul mahukan saya dan melihat kesungguhan itu saya buat keputusan tolak Real dan sertai Barcelona. Oleh kerana saya tak jadi masuk, Benzema juga kekal di Madrid, manakala Arsenal pula selepas itu bawa masuk Danny Welbeck,” kata Suarez.

Baca juga: Kisah Sebenar Bidaan Lucu £40 juta + £1 Arsenal Untuk Suarez

Roy Keane

Ketika Keane sudah menghampiri penghujung karier pada 2006, Real Madrid membuat tawaran tidak dijangka kontrak 18 bulan kepada bekas kapten Manchester United itu, bagi mengatasi masalah ketandusan pemain tengah.

Keane bagaimanapun menolak tawaran itu sebaliknya membuat keputusan menyertai Celtic. Dalam autobiografinya, bekas legenda Old Trafford itu mengakui menyesal tidak menerima tawaran tersebut.

“Saya takut, saya terlalu negatif. Saya sepatutnya memberitahu diri supaya pergi sahaja ke Sepanyol, tinggal di sana setahun setengah, belajar bahasa baru, budaya baru, dan mungkin saya akan jatuh cinta dengan tempat itu dan tidak mahu balik.”

Patrick Vieira

Setahun selepas kehilangan Claude Makelele pada penghujung 2003, Real mula menyedari betapa skuad dilimpahi bintang mereka tidak lengkap tanpa seorang pemain defensive-midfield berkelas dunia.

Vieira yang mengetuai Arsenal menjuarai EPL tanpa tewas (invicibles) bukan sepenuhnya defensive-minded sepertimana Makelele.

Namun, Pengarah Sukan Real Madrid waktu itu, Emilio Butragueno berkata Vieira seorang pemain menarik dan mempunyai kredibiliti diperlukan untuk bersama kelab itu dan menyatakan perpindahan begitu hampir untuk berlaku pada hujung musim 2004.

Vieira bagaimanapun memilih kekal di Arsenal untuk semusim lagi sebelum menyertai Juventus. Manakala Real pula berakhir dengan mendapatkan khidmat Thomas Gravesen.

“Saya gembira di Arsenal dan tidak nampak sebab untuk berpindah. Kami cukup kompetitif, tetapi jika saya boleh kembali ke waktu itu dan ubah satu perkara, tolak tawaran Real Madrid adalah penyesalan terbesar saya.”

David Silva

Ketika Silva masih muda remaja lagi, Los Blancos telah menunjukkan minat terhadapnya. Selepas dia membantu Sepanyol menjuarai Euro 2008, Real Madrid memantau lebih dekat dan memujuk pemain itu untuk menyertai mereka, namun dia memilih Manchester City.

“Pertamanya, City menunjukkan keyakinan tinggi terhadap saya. Dari awal perbualan lagi, saya dapat rasakan kepercayaan dan sokongan mereka kepada saya.

“Keduanya saya tertarik dengan projek mereka. Dalam perbualan kami, mereka menyatakan saya adalah instrumental dalam menjayakan projek yang mereka rancang itu,” kata Silva.

Real kemudiannya cuba sekali lagi untuk membawa pulang David Silva ke Sepanyol dengan tawaran cukup lumayan selepas berakhir musim 2011/2012, namun dia menolak dengan menyatakan gembira kekal di Etihad.

Cesc Fabregas

Produk Akademi Barcelona ini menyertai Arsenal pada usia 16 tahun dan mencipta nama sebagai salah seorang pemain tengah terbaik pernah disaksikan dalam EPL.

Dia kembali ke Barcelona pada 2011, namun dalam satu temuramah memberitahu Real Madrid membuat cubaan beberapa kali untuk mendapatkannya.

“Bukan sekali dua, pertama ketika saya muda baru 18 tahun. Mereka menawarkan gaji besar tetapi jiwa saya seperti sudah melekat di Arsenal. Arsene Wenger terlalu percayakan saya, saya tak boleh keluar, saya mahu balas kepercayaan dia.

“Saya tak kata TIDAK kepada mereka, cuma BUKAN SEKARANG, dan saya gembira dengan cara mereka memahami dan melayan saya. Untuk mengetahui kelab sebesar Real Madrid berminat dengan saya, adalah suatu penghormatan besar.

“Mereka kemudian cuba lagi untuk dapatkan saya bila tahu saya nak sertai Barcelona. Tetapi mungkin kerana saya sudah lama impikan mahu bermain dengan Barcelona, saya terpaksa menolak mereka. Mungkin itulah alasannya.”

Ashley Cole

Ketika sedang pening kepala berdepan publisiti tidak sepatutnya di bumi London akibat kes perceraian pada 2009, Ashley Cole ditawarkan jalan keluar apabila Real Madrid mahu menjadikannya pengganti Gabriel Heinze.

“Ia adalah fasa sangat sukar untuk saya. Ya, saya ada terfikir mahu keluar (dari London). Banyak yang bermain di kepala saya, ia bukan semata-mata bolasepak, saya rasa macam tak dapat nak tanggung, rasa nak pecah kepala.

“Tetapi bila saya bercakap dengan Ancelotti, dia tenangkan saya dan mahu saya kekal. Rakan sepasukan semua tenangkan saya dan tidak mahu saya keluar. Saya rasa disayangi di sini, akhirnya memilih untuk kekal.”

Eric Cantona

Ketika musim 1995/96, pengurus Real, Jorge Valdano menghubungi Eric Cantona dan bertanya jika dia mahu menyertai pasukan itu.

“Dia nampak seperti sangat berminat. Malah dia meminta saya untuk menukar rumput di Santiago Bernabeu kerana ia sedikit rosak. Kemudian dia contact saya, memberitahu tak jadi sebab dia dah ubah fikiran. Dia berkata dia adalah seorang pemain yang sangat teruk sekiranya meninggalkan United waktu itu.”

David De Gea

Pada 2015, David De Gea sebenarnya sudah bersetuju untuk berpindah ke Real Madrid, tetapi perpindahan tersebut gagal setelah United menghantar dokumen perpindahan dua minit selepas transfer deadline.

Florentino Perez masih menunjukkan minat untuk mendapatkannya musim seterusnya, tetapi De Gea pula menolak dan menandatangani kontrak jangka panjang dengan United, sekaligus menutup sebarang peluang perpindahan.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!