Didier Deschamps diminta tidak menjadikan jawatan pengurus France sebagai hakmilik kekalnya.
Deschamps telah membimbing France selama 12 tahun, dan telah membawa beberapa kejayaan besar kepada mereka.
Paling tidak boleh dilupa, pastinya menjulang Piala Dunia pada 2018 dan hampir mengulanginya pada 2022, namun tewas di final kepada Argentina. Dia juga membawa France muncul naib juara Euro 2016.
Tetapi kegagalan di Euro 2024 tewas di separuh akhir kepada Spain, mengundang kecaman ramai. Wartawan dan penyokong nampaknya sudah bosan melihat ‘idea sama’ sepanjang 12 tahun lalu.
Salah seorang wartawan nasional Perancis secara lantang berkata, “Dia sudah 12 tahun di sana (kerusi jurulatih) dan seperti mahu jadikan ia milik kekal. Dia tidak mahu berganjak, mungkin sudah selesa tetapi France bukan dia punya. Ada kejayaan tapi banyak juga kegagalan, France perlukan idea baru, dia perlu berundur, cari pasukan lain atau pergi bermain padel (tenis) di Monaco.”
Resam seorang jurulatih, disanjung ketika menang, dicaci ketika alami kegagalan. Bagaimanapun, di sebalik kritikan dan kecaman yang dilemparkan, Deschamps terus mendapat kepercayaan dan sokongan Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF). Dia akan terus membimbing skuad Les Bleus setidak-tidaknya sehingga Piala Dunia 2026.