Pengurus Manchester United, Ruben Amorim memberi penjelasan mengenai kenyataan kontroversi yang dibuatnya baru-baru ini.
Setelah tewas 1-3 kepada Brighton, Amorim melabel skuadnya sebagai mungkin ‘yang terburuk dalam sejarah kelab’ tetapi menurutnya kenyataan itu sebenarnya ditujukan lebih kepada dirinya sendiri dan bukannya pemain.
Sejak mengambil alih United pada November menggantikan Eric Ten Hag, Amorim mengharungi saat sukar apabila tewas tujuh daripada 15 perlawanan, menyaksikan Red Devils kekal menghuni tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris.
Pengendali berusia 39 tahun itu dari Portugal itu mengakui kekecewaannya terhadap ketidakupayaan dirinya untuk membantu pasukan mencatat keputusan lebih baik.
“Ini lebih kepada saya, saya bercakap lebih mengenai diri saya daripada pemain. Saya kadang-kadang rasa kecewa… Saya tak sepatutnya berkata begitu tetapi itulah yang berlaku… kadang-kadang sukar untuk menyembunyikan rasa kecewa itu,” kata Amorim.
Amorim turut mendedahkan bahawa beliau sudah menyampaikan perkara sama di bilik persalinan pasukan sebelum membuat kenyataan berkenaan.
Baca Juga: 9 Bintang EPL Berkelas Dunia Tolak Tawaran Real Madrid
“Kadang-kadang sebagai seorang yang masih muda, anda melakukan kesilapan dan kemudian memperbaikinya. Saya tak janji saya tak akan ulangi, saya tak tahu. Tapi saya akan cuba memperbaiki diri,” tambahnya.
Amorim yang sedang cuba menerapkan gaya permainan baharu di United mengakui bahawa keputusan buruk adalah sebahagian daripada proses perubahan itu.
“Saya faham bahawa apabila cuba mengubah sesuatu, kami akan melalui detik sukar. Itu jelas bagi saya. Tapi pada masa ini, saya tak mahu mengatakan ia akan mengambil masa yang lama. Segala-galanya menjadi semakin sukar.
“Bila kekalahan datang berturut-turut, ia sangat mencabar untuk semua orang. Kadang-kadang saya tunjukkan rasa kecewa itu, tapi saya tak tahu sama ada kita boleh ubah keadaan itu dengan segera,” ujarnya lagi.