Tinggal tidak sampai dua minggu lagi untuk berlangsungnya aksi final Piala Malaysia, namun jualan tiket tampak tidak memberangsangkan terutama di kem Sri Pahang.
Perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohamed Suffian Awang yang mendedahkan sehingga 14 April, tidak sampai 9,000 tiket yang diperuntukkan untuk penyokong Sri Pahang terjual.
“Setakat ini saya diberitahu jualan sangat perlahan, saya tahu penyokong kita antara yang terbaik dan sangat passionate, masing-masing teruja kita dapat masuk final cuma mungkin masih dalam mood raya, dan memikirkan masih terlalu awal untuk membeli tiket final.
“Saya yakin akan lebih ramai menunjukkan sokongan, tidak kira penyokong Pahang di utara atau selatan, mari kita berjuang dan menawan Bukit Jalil bersama. Sama-sama semarakkan sokongan untuk pasukan kesayangan kita.
“Namun saya berharap penyokong tidak menunggu hingga saat akhir untuk mendapatkan tiket. Mari kita tunjukkan isyarat bahawa kita sudah bersedia, bersatu dan benar-benar mahu membawa pulang piala ke bumi Pahang,” kata Suffian.
Masalah tiket tak berapa laku, turut dihadapi JDT apabila difahamkan di kem mereka baru sekitar 19,000 tiket terjual. Malaysian Football League memperuntukkan lebih kurang 33,000 tiket kepada setiap satu pasukan, untuk dijual kepada penyokong masing-masing.
Sementara itu, Suffian berpendapat Sri Pahang meskipun akan turun sebagai underdog (bukan pilihan), tetapi tetap berpeluang untuk mencipta kejutan berdasarkan prestasi semasa.
“Dalam bolasepak, keajaiban dan kejutan boleh berlaku. Rekod pertemuan tidak memihak kita, semua tahu JDT adalah gergasi bolasepak tanah air, juara bertahan, tetapi kita akan memberikan segala yang terbaik.
“Dengan kita juga dalam prestasi yang baik setelah mencatat dua kemenangan dalam dua perlawanan, kita mahu membawa momentum itu dan berjuang demi tidak menghampakan penyokong,” kata beliau lagi.
Sebagai rekod kali terakhir Sri Pahang mara ke final adalah ketika muncul juara pada musim 2014 dengan menewaskan JDT menerusi sepakan penalti.