Dentuman dan warna-warni percikan bunga api yang mewarnai langit di Petaling Jaya, menjadi simbolik indah kepada penamat musim Selangor FC.
The Red Giants yang awal lagi sudah mengesahkan kedudukan mereka sebagai naib juara Liga Super 2024/25, menutup kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas PDRM FC, menerusi jaringan Alvin Fortes dan Yohandry Orozco.
Selepas wisel penamat, pemain-pemain meraikan kejayaan meraih tiga mata dalam aksi terakhir musim dengan penuh girang, apatah lagi mereka juga akan sekali lagi bermain di pentas Asia – ACL2.
Manakala kepimpinan tertinggi Selangor FC diketuai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah memberikan penghormatan istimewa buat penyokong melalui ‘lap of appreciation’ – menyaksikan suasana cukup meriah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan percikan bunga api mewarnai suasana.
“Musim ini penuh cabaran, namun sokongan anda terus menjadi bahan bakar dalam setiap langkah kami. Terima kasih kerana tidak berhenti percaya dan berdiri teguh bersama kami, dari wisel pertama hingga terakhir,” ujar kenyataan kelab.
Di kala kem Selangor mempunyai sebab yang jelas untuk berpesta dan bergembira bersama penyokong mereka, ia nampaknya tidak disenangi segelintir penyokong yang seolah terbakar dengan tindakan tersebut.
Ada yang mengatakan ia sebagai lucu dan kelakar, menyindir dan ada juga yang menyuarakan rasa tidak puas hati.
Antara komen yang dilontarkan termasuklah oleh Nasrullah Mohamed: “Siapa yang menang banyak piala ni, JDT ke Selangor? Gaya sambut macam Selangor lagi banyak menang piala.”
Manakala Idzuan Latif menulis, “Penyokong pun nampak macam pelik jer, tapi ada segelintir fan diorang mesti sedar ini semua permainan pihak pengurusan yang gagal.”


Dalam masa yang sama, ramai juga penyokong yang pelik kenapa perlu ada penyokong yang koyak, atau terbakar dengan sambutan penuh warna warni di kem Selangor FC bersama penyokong setia mereka.
Salah seorang penyokong, h.hafiz96 membalas bermain bunga api tidak semestinya kerana bergelar juara atau ketika meraikan sesuatu kejayaan.
“Sambutan penutup liga 24/25, sambutan hari raya, sambutan hari terakhir Yan (Khairul Azhan) bersama Selangor dan sambutan terima kasih untuk penyokong-penyokong Selangor yang hadir. Bukan sambut semata-mata menduduki nombor dua.”

Untuk rekod, bagi musim 2024/25, selain bergelar naib juara Liga Super, Selangor turut muncul naib juara Piala FA dan menjulang Piala Cabaran. Di Piala Malaysia cabaran mereka tersekat di pusingan awal, manakala dalam kempen ACL2 tersingkir di peringkat kumpulan.