HomeSemua Pasukan Liga Super Mohon Lesen Beraksi Musim Depan

Semua Pasukan Liga Super Mohon Lesen Beraksi Musim Depan

Malaysian Football League (MFL) mengesahkan semua 13 pasukan Liga Super musim ini, telah mengemukakan permohonan mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim depan.

Perkembangan terbaru ini memberi gambaran bahawa pasukan-pasukan bermasalah kewangan teruk seperti Kedah Darul Aman FC dan Kelantan Darul Naim FC serta dua pasukan yang disebut-sebut akan menarik diri iaitu Perak FC dan Sri Pahang FC berkemungkinan besar masih mahu meneruskan perjuangan mereka.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, meskipun pihaknya menerima permohonan berkenaan, tetapi ia bukan jaminan bahawa pasukan-pasukan itu akan kekal beraksi di Liga Malaysia kerana First Instance Body (FIB) akan meneliti terlebih dahulu dokumen yang dihantar sebelum membuat keputusan akhir.

“Semua pasukan Liga Super dan dua pasukan Liga A1 Semi-Pro iaitu juara serta naib juara sudah membuat permohonan bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan. Segala keputusan dan pengesahan hanya akan diketahui selepas FIB bersidang bagi membuat penilaian serta semakan pada 13 Mei ini,” katanya.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, di antara empat pasukan bermasalah, hanya SPFC sahaja yang tidak berdepan masalah tunggakan gaji. Di mana, semua tunggakan gaji mereka sudah diselesaikan sebelum final Piala Malaysia tempoh hari.

Masalah utama pasukan Tok Gajah hanyalah pemilik mereka, Tengku Abdul Rahman telah memilih untuk berundur diri dari arena bolasepak dan tiada individu yang bersedia untuk menapak masuk meneruskan legasi yang ditinggalkan, mengambil kira pelbagai faktor terutamanya kewangan.

Manakala tiga pasukan iaitu KDAFC, KDNFC dan Perak pula, diketahui berdepan krisis tunggakan gaji teruk, dan isu itu pada hakikatnya belum selesai.

Dalam pada itu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi mengakui proses rundingan bersama penaja baharu sedang dilakukan dan jika perkembangan positif dapat dicapai, skuad ‘The Bos Gaurus’ berpotensi tidak ‘berkubur’ pada musim depan.

“Insya-Allah, keputusan itu bakal berubah. Kita dapati bahawa terdapat dua atau tiga orang pelabur yang berminat untuk mengambil alih Perak FC.

“Kita dalam proses perbincangan dan harapnya dapat menemui kata sepakat seterusnya membenarkan mereka untuk mengambil alih Perak FC,” kata Azim menerusi rancangan Ngopi di Channel 10 Malaysia.

Beliau sebelum ini memberitahu bahawa mereka sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan skuad itu termasuk membelanjakan hampir RM40 juta.

Azim menjelaskan, ketika mula mengambil alih pasukan, mereka memiliki beberapa perancangan untuk mendapatkan dana agar pasukan itu boleh terus bernafas dengan sasaran pelanggan baharu dalam tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun, sambutan hambar khususnya daripada penyokong pasukan itu terhadap produk XOX Berhad membuatkan mereka bergelut untuk meneruskan perjuangan dalam kancah Liga Malaysia.

“Sebagai sebuah syarikat swasta, apabila kita membuat pelaburan, benda pertama yang kita fikirkan ialah berapa pulangan yang kita dapat (ROI). Tetapi pulangan itu bukan hanya daripada segi duit, ia boleh meliputi segi iklan dan sebagainya.

“Sumber kewangan utama kita ialah daripada penjualan kad sim supaya semua orang boleh guna. Kita menganggarkan kalau kita boleh dapat 150,000 pelanggan baharu dalam tempoh lima tahun, kita akan OK kerana penjanaan tambah nilai sebanyak RM30 sebulan akan membantu Perak FC. Kita tiada masalah.

“Malangnya, selepas tiga ke empat tahun kita mengambil alih, hanya ada 4,500 pelanggan sahaja. Jauh dan ketara sangat. Daripada jumlah itu, yang betul-betul aktif, yang menambah nilai hanyalah 2,000 orang sahaja. Tak berbaloi (pelaburan ini).

“Jadi dari segi pemilik saham atau syarikat pelabur, mereka akan bertanya, ini pelaburan apa namanya?” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!