Berang dilabel sebagai ‘Datuk Scammer’ selepas menyatakan hasrat mahu membeli saham Sri Pahang FC, Datuk Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad bersedia mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang berterusan membuat tohmahan tersebut.
Beliau yang merupakan Pengerusi Eksekutif NNA Land & Construction Sdn Bhd berkata, ia adalah fitnah liar berniat jahat bertujuan menjatuhkan imej dan maruahnya sebagai seorang ahli politik dan usahawan tanah yang berjaya.
Baru-baru ini Nazrul Izad menyatakan telah menghantar surat rasmi mahu membeli Sri Pahang FC dalam usaha menyelamatkan pasukan itu daripada berkubur.
Tetapi sebuah portal berita menyiarkan satu artikel menggesa Sri Pahang menolak tawaran tersebut kerana bimbang kena ‘scam’ dengan beliau dan menggelarnya ‘Datuk Scammer’.
Nazrul Izad yang merupakan Pengerusi Tetap UMNO Indera Mahkota berkata, artikel itu jelas satu fitnah murahan dipercayai didalangi beberapa individu, bukan sahaja musuh politik dan perniagaan. Tetapi juga mereka yang gelisah dan takut beliau dapat menyelamatkan seterusnya membawa kejayaan kepada Sri Pahang FC.
“Mereka bukan saja mahu mencemarkan imej malahan cuba menjatuhkan perniagaan serta kerjaya politik saya. Saya tidak pernah dijatuhkan hukuman atau disabitkan bersalah terhadap mana-mana kes malah semua dakwaan sebelum ini telah digugurkan mahkamah.
“Maka tidak sewajarnya pihak-pihak tertentu menyerang saya yang cuba menyelamatkan Skuad Tok Gajah ini, berkemungkinan ada yang tak mahu melihat kejayaan Sri Pahang FC,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru itu, beliau akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.
“Banyak laporan berita dan komen jelik bertujuan menjatuhkan imej saya telah tersebar dalam media sosial susulan hasrat itu. Semua usaha jahat itu saya percaya daripada individu atau kumpulan yang cemburu dengan kejayaan saya sebelum ini.
“Selepas sekian lama menghilangkan diri tanpa jejak, tiba-tiba saya muncul dengan kejayaan seperti yang ada hari ini,” ujarnya yang menegaskan semua yang berlaku menjadi pembakar semangat untuk terus maju ke hadapan.
Beliau menambah: “Apa jua keadaan dan situasi yang berlaku, saya serah kepada ALLAH SWT. Sekiranya hasrat untuk membeli Sri Pahang tidak kesampaian, saya bercadang untuk menubuhkan satu pasukan bola sepak baharu di negeri ini.”