Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), melontarkan cabaran kepada pemilik kelab-kelab lain dalam Liga Malaysia agar menghentikan dominasi baginda dan juga Johor Darul Takzim (JDT).
Menurut baginda, dengan perancangan yang betul, mereka boleh melakukannya kerana kegagalan hanya berlaku apabila tiada halatuju yang jelas.
“Kita perlu ada perancangan dan penyelesaian yang tepat. Apa yang anda semua saksikan (di JDT) pada hari ini telah dirancang sejak 2018, sama ada bolasepak, politik dan lain-lain.
“Sekarang dalam hal bolasepak, tanggungjawab saya adalah teruskan kejayaan dan bertambah baik. Sama sahaja dengan mereka yang uruskan kelab lain. Gagal merancang, kejayaan tak akan datang.
“Awak tak suka saya menang, saya tak boleh buat apa-apa. Tetapi pemimpin awak mungkin boleh buat sesuatu. Mereka perlu merancang hentikan saya, kerana saya tidak akan berhenti melakukan apa yang saya lakukan,” ujar baginda.
Baca Juga: TMJ Beri Gambaran JDT Juara Lagi, Disertai Sindiran Pedas
Sejak memimpin JDT pada 2013, Tunku Ismail telah membawa pasukan itu merangkul 30 trofi utama, tidak termasuk trofi di saingan peringkat umur mahupun futsal.
Antara kejayaan JDT termasuklah menjuarai Liga Super buat kali kesebelas berturut-turut, dengan empat daripada kempen mereka adalah tanpa kalah (invincibles) iaitu pada 2016, 2022, 2023 dan 2024/25.
Dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia, JDT muncul juara dalam tiga edisi terakhir selain turut mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih) buat musim ketujuh berturut-turut. Ia sekaligus menyaksikan mereka mencipta sejarah sebagai pasukan pertama melengkapkan hatrik quadruple.