HomeSukan"Jika Saya Yang Pedajal Faisal Halim, Saya Tak Lari Macam Pengecut"

“Jika Saya Yang Pedajal Faisal Halim, Saya Tak Lari Macam Pengecut”

Pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan setiap perkara buruk yang berlaku mesti akan cuba dikaitkan dengannya, dengan memberikan beberapa contoh termasuk insiden serangan asid ke atas Faisal Halim.

Beliau menegaskan, ini adalah kerana pengaruh yang dimilikinya menyebabkan ada pihak tertentu tidak senang duduk.

“Jika perkara yang benar-benar mengganggu anda adalah pengaruh, saya ada berita malang: pengaruh itu tidak akan ke mana-mana,” tegas baginda.

Untuk rekod, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah pada Mei tahun lalu. Kejadian itu mengemparkan dunia sukan tempatan dan meninggalkan parut fizikal serta emosi yang mendalam terhadap pemain Selangor dan kebangsaan itu.

Selepas setahun berlalu, pelakunya masih tidak dapat dikesan, dan baru-baru ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action).

“Ada cakap-cakap dan spekulasi mengaitkan saya sebagai dalang insiden tersebut. Biar saya jelaskan, saya mahupun JDT tidak perlu pergi ke tahap begitu hina dan bertindak seperti pengecut. Saya seorang anggota tentera. Jika saya ada sesuatu untuk dikatakan atau dilakukan, saya tidak akan bersembunyi di sebalik kebodohan seperti itu.”

Beliau turut berkongsi beberapa pengalaman lain yang menunjukkan betapa mudah namanya dikaitkan dalam pelbagai isu – walaupun tidak masuk akal.

Antaranya, beliau pernah ditanya oleh seorang ahli politik di Johor sama ada gerai Bazaar Ramadan dan khemah-khemah di tapak bazar itu miliknya.

“Serius? Adakah saya nampak seperti seseorang yang mengaut untung dari tapak Bazaar Ramadan?” soal Tunku Ismail dengan nada sinis.

Tambahnya lagi, terdapat juga cubaan mengaitkan dirinya dengan satu insiden pergaduhan yang berlaku di konsert muzik punk tempatan.

“Konsert punk tempatan pula. Saya ini nampak macam orang yang habiskan malam menjerit dan ‘headbanging’ di gig punk bawah tanah?”

Semua ini, katanya, mencerminkan betapa pengaruh yang dimilikinya sering dijadikan bahan spekulasi tanpa asas. “Masalah sebenar bukan apa yang saya lakukan, tetapi hakikat bahawa saya boleh melakukannya.

“Pengaruh saya bukan satu pilihan, tetapi sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Dan semakin masa berlalu, ia menjadi semakin kuat,” jelasnya.

Mengakhiri kenyataannya, Tunku Ismail memberikan satu nasihat ringkas: “Belajarlah untuk menerima… atau cuba sedaya upaya untuk menjatuhkan saya. Kerana saya tidak akan ke mana-mana. Saya di sini untuk berkhidmat kepada negeri saya dan terus mara.”

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!