HomeNostalgiaKisah Pemain Import Terengganu Bunuh Diri Kerana Masalah Gaji

Kisah Pemain Import Terengganu Bunuh Diri Kerana Masalah Gaji

Terengganu diketahui sebagai pasukan yang seringkali berjaya mendapatkan khidmat pemain import berkualiti.

Dari era Nasir Jalil, Ahmad Paijan dan Syed Mutalib di tahun 80-an; Frank Pastor, Marlon van der Sander, Seidu Isiffu, dan Samuel Chebli di 90-an hinggalah ke himpunan pemain import dari segenap benua di era millenium, ramai yang masih dikenang dan dirindui kelibat mereka sehingga ke hari ini.

Pada sekitar tahun 1996, Terengganu telah diperkuatkan dua pemain Uzbekistan yang berasal dari Russia, Kudrat Madaninov dan Alexander Kochokov.

Berbanding Madaninov, penyokong pada waktu itu pastinya lebih mengingati nama Kochokov yang mana kariernya bersama Terengganu berakhir penuh tragik setelah membunuh diri.

Baca juga: Paolo Maldini Akui Dia Adalah Kegagalan Terbesar Dalam Sejarah Bolasepak

Kochokov didapati mati terjatuh dari apartment kediamannya di Kampung Tiong dengan mayatnya ditemui orang ramai di kaki lima apartment. Media ketika itu melaporkan mendiang telah memotong pergelangan tangannya sebelum terjatuh dari balkoni, berdasarkan kesan titisan darah dalam rumahnya.

Tiada maklumat tepat tentang bila kejadian berlaku, tetapi ketika kejadian pemain import itu masih berkontrak dengan Terengganu.

Sejurus kejadian itu, tersebar meluas berita yang menjadi buah mulut penyokong mengatakan tekanan berpunca daripada masalah kewangan kritikal adalah faktor pendorong utama dia bertindak mencabut nyawa sendiri.

Ini susulan nota yang ditinggalkan pemain itu yang mendedahkan isteri dan keluarganya ditahan dan diugut kongsi gelap serta mafia di Moscow yang menuntut sejumlah wang pembebasan, namun dia gagal memenuhi permintaan mereka.

Malahan tunggakan gaji berbulan-bulan dengan Persatuan Bolasepak Terengganu (PBSNT) menambah lagi kekusutan Kochokov.

Dia tidak dapat mencari jalan penyelesaian terhadap masalah-masalah berbangkit di sini dan di Russia, justeru memilih menamatkan hayatnya.

Teruk jugalah PBSNT dikecam pada waktu itu, masalah tunggakan gaji itu juga antara sebab kenapa Terengganu menjadi pasukan belasahan tahun tersebut termasuk tewas 0-5 kepada Selangor dan 1-8 kepada Sabah.

Difahamkan kes ini kemudiannya ditutup begitu sahaja kerana ia kes berprofil tinggi menyebabkan tiada laporan lebih terperinci dapat diperolehi mengenai kejadian ini.

Bagaimanapun, ia pastinya satu kejadian malang yang tidak akan dilupakan penyokong-penyokong Terengganu.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!