HomeSukan"Liga-M Dah Dijajah, Pemain Tempatan Kena Gali Kubur Sendiri"

“Liga-M Dah Dijajah, Pemain Tempatan Kena Gali Kubur Sendiri”

Bekas pemain kebangsaan, Hardi Jaafar meluahkan rasa kecewanya dengan keputusan Malaysia Football League (MFL) membenarkan pasukan Liga Super mendaftarkan sehingga 15 pemain import bermula musim baru Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26.

Walaupun MFL mengatakan tiada kewajipan bagi mana-mana pasukan memenuhi kuota tersebut sebaliknya bergantung kepada keperluan dan kewangan masing-masing, Hardi menyifatkan keputusan itu ibarat ‘tidak menggunakan otak’.

Malah, bekas tonggak Selangor dan Perak itu tanpa berselindung mengatakan tindakan MFL seperti lebih mahu menjaga pasukan yang bermain di ACL/ACLE2 dan sedang menjahanamkan pasukan lain dalam Liga Malaysia.

Baginya, tumpuan MFL sepatutnya mencari jalan memastikan pertandingan mereka terus subur dan menjaga semua pasukan dalam liga mereka agar tidak berkubur disebabkan keputusan-keputusan syok sendiri.

“Saya bukan nak mencari populariti, cuma nak bertanya kepada pihak yang mengendalikan liga (MFL), patut atau tidak setiap pasukan dibenar mendaftar 15 pemain import? Kenapa tak letak satu pasukan terus? Otak korang pergi mana musibat!

“Ini semua akan membuatkan pemain tempatan kena gali kubur sendiri dan tanam sendiri. Liga Malaysia sekarang ini dah dijajah pemain luar. Bagi pasukan yang ada duit baguslah, tetapi yang tak berapa ada duit memang jahanam lah kan.

“Korang sanggup lihat pasukan seperti Perak, Kedah dan Pahang tarik diri daripada liga. Padahal tiga team ini mempunyai rekod (sejarah) yang baik, pemain berkaliber dan team yang bagus.

“Disebabkan satu atau dua pasukan yang gah membawa cabaran di ACL, korang boleh lupakan pasukan-pasukan yang menjadi penyeri Liga Malaysia dulu,” ujarnya.

Hardi yang cukup dikenali dengan bisa sepakan kaki kiri turut berkias bahawa menggunakan ramai import untuk hanya mencipta rekod demi rekod dalam saingan domestik, ibarat tiada apa-apa makna.

“Setakat main dengan ramai pemain import, hanya seorang dua pemain tempatan tak perlulah nak bangga sangat. Hanya korang jer yang bangga dengan piala yang korang dapat, setakat buat rekod dalam Malaysia. Maaf cakap, selamat jahanam Liga Malaysia,” tambahnya.

Untuk rekod, sebelum ini, setiap pasukan Liga Super dibenarkan mendaftar sembilan pemain import, manakala pasukan yang bermain di ACLE/ACL2 pula boleh mendaftar 12 pemain import.

Tetapi MFL baru-baru ini memaklumkan penambahan kepada 15 import dibuat bagi memberi kesaksamaan kepada semua kelab dan meningkatkan daya saing Liga Malaysia.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!