Susulan kemalangan bas Noreen Group yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Syarikat Kenari Utara menafikan bahawa mereka menggunakan khidmat pemandu lori sebagai pemandu gantian untuk perjalanan tersebut.
Pegawai Operasinya, Mohd. Nazri Nawi berkata, pihaknya menggunakan khidmat seorang pemandu berpengalaman berusia sekitar 52 tahun dari sebuah syarikat pengendali bas ekspres lain sebagai pemandu kedua.
“Saya tidak tahu dari mana timbul dakwaan tersebut dan ia mungkin tanggapan melulu netizen dalam media sosial. Saya menafikan dan pihak kami pastinya tidak akan ambil pemandu sembarangan.
“Bas itu sepatutnya dikendalikan oleh dua pemandu tetapi salah seorangnya bercuti. Jadi kita pinjam seorang pemandu yang sudah ada pengalaman membawa bas ekspres dari syarikat lain sebagai pemandu kedua,” katanya kepada pemberita di Pejabat Operasi Noreen Group di Tunjung, di Kota Bharu.
Mohd. Nazri menjelaskan, kedua-dua pemandu mempunyai rekod bersih dan telah dipastikan bebas daripada penggunaan bahan terlarang semasa menjalankan tugas mereka.
Katanya, Hospital Gerik memaklumkan pemandu utama yang merupakan kakitangan Syarikat Kenari Utara mengalami patah tangan namun pemandu kedua dikatakan mengalami kecederaan yang agak kritikal.
“Bagaimanapun saya tidak dapat memastikan tahap kecederaan kritikal pemandu kedua itu kerana tidak dapat berhubung dengannya sehingga kini. Saya juga tidak dapat memastikan sama ada pemandu pertama atau kedua yang memandu ketika kejadian berlaku.
“Saya cuma mendapat panggilan sekitar pukul 1 pagi untuk memaklumkan kejadian sahaja dan terus ke tempat kejadian. Namun tidak sempat menemui kedua-dua pemandu yang telah dibawa ke hospital. Cuma saya dimaklumkan oleh pihak Hospital Gerik bahawa kedua-dua pemandu akan dirujuk ke Hospital Taiping,” ujarnya.
Baca: Sekurang-Kurangnya 15 Maut Nahas Bas Bawa Pelajar UPSI
Mohd. Nazri berkata, pihaknya sedia memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk polis dan akan menyediakan semua dokumen diperlukan.
Laporan media menyatakan bas itu sepatutnya dipandu Mat Seman Che Lah, namun dia tidak mengambil tugas tersebut kerana mahu menghantar anak-anaknya pulang ke Kuala Lumpur selepas menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung.