HomeSukanMakin Ramai Persoal Bagaimana MFL Luluskan Lesen KDNFC

Makin Ramai Persoal Bagaimana MFL Luluskan Lesen KDNFC

Makin ramai pemain dan pegawai pasukan tampil mempersoalkan bagaimana Malaysian Football League (MFL) boleh meluluskan lesen kebangsaan untuk bermain di Liga Super kepada Kelantan Darul Naim FC (KDNFC).

Sebelum ini, OtaiStation melaporkan Khatul Anuar Jalil, bekas penjaga gol KDNFC, meluahkan rasa terkilan dengan perkembangan tersebut memandangkan masih ada tunggakan tiga bulan selain caruman KWSP dan Perkeso yang tidak dibayar.

Berita Berkaitan: Khatul Anuar Terkilan KDNFC Diberi Lesen Kebangsaan

Terbaru, turut bersuara adalah pemain kelab itu sendiri, Jasmir Mehat, yang menyatakan perkara sama. Menurut pemain itu, walaupun ada bayaran KWSP dimasukkan baru-baru ini, jumlah yang diterima sebahagian pemain terlalu kecil dan tidak menyelesaikan tunggakan sepenuhnya.

“Kami semak, ada yang dapat sikit, ada yang langsung tak terima. Tak ada perbincangan, tak ada makluman. Apa yang kami tahu, KDN FC dapat lesen untuk beraksi musim depan.

“Kami pelik bagaimana dokumen diberikan kepada MFL sehingga kelulusan lesen diperoleh. Kalau ikut syarat, tunggakan perlu diselesaikan dahulu,” katanya menerusi laporan Arena Metro.

Tambah Jasmir lagi, komunikasi antara pengurusan dan pemain juga semakin renggang, apabila sebarang mesej atau pertanyaan tidak dibalas.

“Kami bukan nak minta lebih, cuma tuntut hak seperti dalam kontrak. Kalau betul ada usaha selesaikan, panggil bincang. Tapi sampai sekarang tiada siapa yang panggil kami.”

Selain itu, Jasmir mendedahkan bahawa situasi lebih parah melanda skuad bawah 23 tahun kerana mereka juga tidak menerima sebarang bayaran dalam tempoh tertentu.

“Saya dimaklumkan bahawa gaji pemain bawah 23 tahun dipotong 50 peratus namun jumlah berkenaan juga tidak mampu dibayar pengurusan.

“Kalau begini keadaannya, bagaimana kita nak profesional dalam liga? Kami harap perkara ini disiasat dan ditangani segera oleh pihak berkaitan,” katanya lagi.

Tahap Kesabaran Sudah Hilang, YB Rozi Berdiam Diri

Dalam pada itu, seorang lagi anggota pasukan, yang tidak mahu didedahkan nama berkata: “Apa yang dibayar sebelum ini hanya separuh sahaja, tapi hakikatnya masih banyak lagi tunggakan yang tertangguh.

“Pemain Liga Super tertunggak dalam tiga bulan dan ada juga pemain muda yang tak dibayar selama enam bulan. Tunggakan gaji setiap pemain tidak sama, tetapi jumlahnya agak besar.

“Jadi kami dah tak boleh tahan, sudah sampai ke tahap paling maksima sekarang ini. Jadi kami bersepakat beri tempoh seminggu sahaja untuk membuat perbincangan.

“Jika dalam tempoh seminggu ini masih berdiam diri, kami akan buat satu sidang media untuk dedahkan segalanya. Dengan saya sendiri akan ke hadapan,” katanya.

Sepertimana Khatul dan Jasmir, beliau juga hairan bagaimana MFL boleh memberikan KDNFC Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Malaysia.

“Tahap kesabaran kami sudah hilang. Melebihi maksimum dah, jadi kami tidak mahu berlengah lagi. Apabila KDNFC diberikan Lesen Kebangsaan, itu bermakna mereka ada sumber kewangan untuk bertanding.

“Sepatutnya mereka kena jelaskan dulu bayaran sehingga habis, kemudian barulah fikir untuk main di Liga M. Kami ini nak makan apa, tolonglah fikirkan kebajikan kami,” katanya.

Minggu lepas, badan bebas First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL memberikan Lesen Kebangsaan penuh buat tiga pasukan termasuk KDN FC, Kuala Lumpur City FC (KL City) dan PDRM FC yang sebelum ini diberikan lesen bersyarat.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!