Pengendali Pahang Rangers, Luis Fonseca sifatkan faktor nasib memihak kepada JDT ketika pertembungan kedua-dua pasukan pada minggu lalu.
Sabtu lalu, SUKPA menjadi saksi antara aksi futsal paling menarik disaksikan dalam saingan Malaysia Premier Futsal League musim ini, apabila 13 gol terhasil dalam pertembungan antara Pahang Rangers dan juara bertahan JDT.
Rancak berbalas jaringan dari awal hingga tamat perlawanan, kedua-dua pasukan tampil dengan aksi menggoncang adrenalin cukup menghiburkan.
Pahang Rangers berada di depan lima kali (2-1, 3-2, 4-3, 5-4, 6-5) sebelum Harimau Selatan bangkit mencatat kemenangan tipis 7-6 menerusi gol minit akhir pemain lincah Ridzwan Bakri.
Pemain kebangsaan itu mencuri tumpuan dengan meledak total empat gol bagi mengecewakan bekas pasukannya itu, manakala tiga lagi gol disumbangkan Awalluddin Mat Nawi, Firdaus Ambiah dan Bruno Taffy.
Berita Berkaitan: Iwan Bakri Robek Pahang Rangers, JDT Hampiri Kejuaraan
Bagi jurulatih Pahang Rangers, Luis Fonseca, beliau mengakui pasukannya dihukum kesilapan sendiri pada minit akhir tetapi menganggap keupayaan mereka menyaingi barisan bintang JDT membuktikan kualiti masing-masing adalah setaraf.
“Ia perlawanan berintensiti tinggi antara dua pasukan di puncak liga, dan nasib lebih memihak kepada JDT pada wisel penamat. Kami memberikan tentangan, mencipta peluang, menjaringkan gol, berada di depan hampir keseluruhan permainan, tetapi kesilapan minit akhir memberi kemenangan kepada JDT.
“Kami berjaya menyaingi mereka dan kekal dalam permainan dari awal hingga akhir, dan terima kasih kepada sokongan hebat penyokong serta mentaliti ditunjukkan semua pemain. Saya perlu memberikan kredit kepada permainan dan kerja keras mereka yang membuatkan penyokong tidak berganjak sepanjang perlawanan berlangsung.
“Kami membuktikan level kami setaraf dengan JDT, hanya sedikit sahaja yang menjadi pemisah memihak kepada team ‘bintang’ itu,” ujar Fonseca.
Sebagai rekod, kekalahan kedua musim ini buat Pahang Rangers – kekalahan pertama juga di tangan JDT (3-4) di Pasir Gudang – bermakna impian mereka mengejar kejuaraan sudahpun tertutup. Secara matematik, JDT perlukan dua kemenangan daripada empat perlawanan berbaki untuk mengekalkan trofi yang dimenangi musim lalu.