Kemenangan yang tidak meyakinkan. Demikian pendapat rata-rata penyokong Harimau Malaya di sebalik kejayaan menewaskan Singapura 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Khamis lalu.
Jika Vietnam boleh dibelasah 4-0, takkan dengan Singapura hanya 2-1? Itu pandangan popular yang menjadi sebutan dan bahan kritikan peminat bolasepak tanah air yang turut menyifatkan corak permainan skuad Peter Cklamovski sebagai hambar.
Begitupun, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir tampil menegaskan bahawa peminat tidak seharusnya terlalu cepat melontarkan kritikan kerana perlawanan persahabatan hakikatnya medan ujian buat Cklamovski.
“Perlawanan persahabatan inilah masa jurulatih untuk mencuba pelbagai kombinasi pemain dan menilai tahap permainan mereka. Ini bukan ukuran sebenar tetapi penilaian untuk menentukan siapa layak berada dalam kesebelasan utama nanti.
“Lagipun, kita berjaya meraih keputusan positif dan pasukan ini baru saja dikumpulkan kembali selepas kemenangan kita menentang Vietnam baru-baru ini. Sebab itu, mungkin ada yang kurang kemas di beberapa bahagian,” katanya kepada Sukan Sinar.
Menurut Jamal, kritikan melulu hanya akan menambah tekanan sedangkan matlamat utama aksi persahabatan adalah untuk memperkemaskan taktikal dan memberikan peluang kepada barisan pemain mencuri perhatian jurulatih.
“Kalau kita ingat balik sebelum bertemu Vietnam pun, prestasi skuad negara dalam aksi persahabatan tidak terlalu menonjol. Tapi bila sampai ‘game’ sebenar, lain hasilnya.
“Sebab itu kita jangan terlalu cepat membuat kesimpulan berdasarkan perlawanan persahabatan. Apa yang penting, kita menilai skuad ini ketika beraksi di kelayakan atau kejohanan utama nanti,” tambahnya lagi.
Perlawanan seterusnya bagi Malaysia adalah adalah menentang pasukan di ranking ke-98 dunia, Palestin dalam satu lagi aksi persahabatan pada Isnin, di Stadium Sultan Ibrahim.