HomeSukanCEO PDRM Tegas Menafikan Dakwaan Tunggakan Gaji 4 Bulan

CEO PDRM Tegas Menafikan Dakwaan Tunggakan Gaji 4 Bulan

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi perhatian atas sebab yang tidak diingini berikutan khabar angin yang bertiup kencang mengenai tunggakan gaji, dilaporkan sehingga empat bulan.

Spekulasi itu semakin memuncak selepas akaun media sosial rasmi PDRM secara tiba-tiba memadam gambar profil di semua platform. Malah caption-caption yang ditulis pula kelihatan seperti caption ‘pemalas’, selain tiada sebarang update sepanjang bulan September. Ia lantas menguatkan lagi perdebatan dan kesahihan dakwaan tersebut.

Ketua jurulatih Eddy Gapil cuba mengelak daripada mengulas isu berkenaan, dengan alasan ia bukan bidang kuasanya untuk memberi kenyataan.

“Saya rasa saya bukan orang yang sesuai untuk menjawab, pihak pengurusan sepatutnya melakukannya,” katanya mengenai dakwaan tersebut selepas skuad The Cops menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada Jumaat.

Bagaimanapun, ketika soalan sama diajukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif kelab, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin, beliau pantas menafikan kelab itu berdepan masalah kewangan, sambil menegaskan tiada tunggakan gaji kepada pemain atau staf.

“Buat masa ini, kami tidak berdepan sebarang masalah kewangan. Ada isu di luar padang, terutamanya berkaitan pentadbiran, tetapi kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pasukan kekal di landasan yang betul. Insya-Allah, kami akan berikan penjelasan tidak lama lagi,” kata Hafiz.

Kenyataan berhati-hati dibuat Eddy dan penafian tegas Hafiz hanya menguatkan lagi spekulasi, sekali gus meninggalkan persoalan di minda penyokong mengenai versi mana yang benar.

Ironinya, isu tunggakan gaji bukanlah perkara baharu dalam bola sepak Malaysia malah ia sudahpun menjadi masalah tahunan.

Kontroversi PDRM ini merupakan kes pertama dalam saingan musim 2025–2026, tetapi sejarah menunjukkan kebiasaannya ia tidak berhenti pada satu kes sahaja.

Tahun lalu, Kedah Darul Aman dipotong tiga mata dan didenda RM50,000 selepas gagal melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

KL City dikenakan potongan enam mata, larangan perpindahan, dan lesen AFC mereka ditarik balik selepas menyerahkan dokumen palsu berkaitan gaji serta bayaran statutori.

Pada 2023, Kelantan FC didenda RM20,000 dan diberi lesen bersyarat, manakala Perlis FA yang kerap melakukan kesalahan akhirnya digugurkan sebagai ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali gus menyingkirkan mereka daripada saingan kebangsaan.

Dalam tempoh lima musim lalu sahaja, sekurang-kurangnya empat kelab Liga Super telah kehilangan lesen atau dikenakan hukuman berat yang berkait rapat dengan tunggakan gaji atau pengisytiharan kewangan yang tidak tepat.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error:Content is protected !!