Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski berkata dia tiada niat untuk memalukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kenyataannya baru-baru ini telah sama sekali disalah tafsir.
Justeru, Cklamovski meminta maaf kepada FAM ataupun siapa sahaja yang rasa kurang senang dengan kenyataannya yang menyebut badan induk itu adalah punca kepada segala situasi tunggang langgang bolasepak Malaysia, berikutan dakwaan pemalsuan dokumen dan penggantungan selama setahun yang dikenakan ke atas tujuh pemain warisan.
“Kenyataan saya merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan FAM yang mengakui kesilapan mereka dalam urusan muat naik dokumen. Itu sahaja, saya tidak tahu apa-apa lebih dari itu.
“Jika kenyataan saya berbunyi begitu, maka saya meminta maaf. Saya tiada niat untuk menyinggung atau tidak menghormati FAM,” ujar Cklamovski.
Tambah pengendali dari Australia itu, kenyataan “tanpa TMJ, bolasepak Malaysia sudah lama berkubur” juga bukanlah bermaksud mahu membandingkan FAM dan juga Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik JDT).
“Sebaliknya saya hanya mahu menyampaikan mesej kepada orang ramai tentang pengaruh baginda. Saya mahu menyampaikan penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas sumbangannya kepada pembangunan bolasepak Malaysia.
Baca: “Kalau Saya, Sudah Lama Cklamovski Kena Pecat”
“Profesionalisme, kemudahan latihan, fasiliti, baginda sentiasa memberi sokongan. TMJ benar-benar percaya kepada kami dan tanpa baginda, saya tidak pasti di mana kedudukan bola sepak Malaysia hari ini.
“Ia tidak bertujuan memperlekeh mana-mana pihak. Saya ulang sekali lagi, kenyataan saya bukan untuk tidak menghormati FAM. Tetapi jika Tunku Mahkota Ismail tiada, bola sepak Malaysia mungkin sudah lama mundur. Itulah mesej saya yang sebenar,” kata Cklamovski lagi.