HomeSukanBellingham Buat Messi Tersinggung, Apa Yang Dia Cakap?

Bellingham Buat Messi Tersinggung, Apa Yang Dia Cakap?

Jude Bellingham mendedahkan apa sebenarnya yang dia katakan kepada Lionel Messi, dalam insiden pertikaman lidah yang viral ketika aksi separuh akhir Piala Dunia 2026.

Messi mencipta dua assists pada penghujung perlawanan ketika Argentina bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan awal Anthony Gordon untuk menewaskan England 2-1, sekali gus mengesahkan tempat ke final menentang Sepanyol pada Ahad.

Namun, satu insiden pada babak pertama melibatkan Bellingham dan Messi di mana kedua-dua pemain dilihat bertikam lidah secara serius, diiringi reaksi wajah Messi yang seperti tidak berpuas hati dan seolah memberi isyarat “budak ni dah melebih ni” — mencuri perhatian ramai.

Malah tersebar pula dakwaan bahawa Bellingham mengatakan kepada Messi, “Kau sampai ke separuh akhir pun sebab orang tolong. Sedarlah CR7 lagi hebat dari kau, tanpa ragu” dan itu yang membawa kepada reaksi Messi tersebut. Tetapi benarkah Bellingham berkata begitu?

Menurut pemain Real Madrid itu, dia sedar tentang dakwaan yang viral tersebut, tetapi menyatakan cerita-cerita “bakar line” seperti itu sudah menjadi asam garam di media sosial.

“Kami sebenarnya bertelingkah mengenai foul yang berlaku. Tiada apa yang buruk diperkatakan saya mahupun dia. Saya tahu semua orang akan membuat tafsiran masing-masing dan membesarkan perkara itu. Tetapi sebenarnya tiada apa-apa yang serius.

“Saya berasakan ada foul yang berlaku sebelum itu yang tidak diendahkan, kemudian dia (Messi) berkata: ‘Bagaimana pula dengan foul ke atas saya?’ Saya membalas: ‘Awak sudah cukup kuat untuk menghadapinya.’ Faham maksud saya?

“Ia satu penghormatan dapat beraksi menentangnya. Tiada apa-apa isu antara kami. Saya berada di pihak yang tewas dan ia amat menyakitkan. Namun, dapat beraksi menentang salah seorang pemain terbaik dunia adalah satu penghormatan,” kata Bellingham kepada media selepas perlawanan.

England menjuarai kumpulan mereka sebelum menewaskan Congo DR, Mexico dan Norway pada peringkat kalah mati. Sekiranya mereka berjaya mempertahankan kelebihan hasil jaringan Gordon ketika menentang Argentina, England pasti melangkah ke final Piala Dunia buat kali pertama sejak muncul juara pada tahun 1966.

Namun, keputusan Thomas Tuchel melakukan pertukaran pemain berunsur defensif mengundang kritikan selepas Enzo Fernández dan Lautaro Martínez menjaringkan gol untuk membawa Argentina melakar kebangkitan.

Bercakap kepada BBC Sport, penyerang England, Harry Kane berkata: “Saya benar-benar kecewa. Kecewa buat rakan sepasukan, semua orang, pasukan, barisan kejurulatihan dan para penyokong. Kami bermain dengan baik untuk sebahagian besar perlawanan.

“Selepas mendahului 1-0, kami seolah-olah hanya mahu mempertahankan kelebihan. Pada tahap seperti ini, itu sahaja tidak mencukupi. Jadi saya sangat kecewa. Kami bekerja keras untuk berada di sini. Semua pemain telah memberikan segala-galanya — tenaga, peluh, darah dan air mata. Jadi untuk tewas seperti hari ini memang amat memeritkan.”

Kane menegaskan mesej daripada Tuchel dan barisan kejurulatihannya selepas gol Gordon adalah supaya England terus menyerang. Namun, menurutnya, pasukan itu semakin banyak bertahan sehingga memberi ruang kepada Argentina untuk menguasai permainan.

“Kami bergelut untuk memberikan tekanan kepada pemain yang menguasai bola selepas gol itu. Saya fikir pada separuh masa pertama dan awal babak kedua kami menekan mereka dengan baik, memberikan tekanan tinggi yang membolehkan kami merampas bola serta mengawal permainan dengan lebih baik.

“Selepas gol itu, sama ada kerana mereka menambah bilangan pemain di hadapan atau kami gagal mengimbangi mereka secara satu lawan satu, serangan demi serangan datang bertalu-talu. Para pemain bertahan melakukan banyak halangan, tetapi akhirnya ia tetap tidak mencukupi.

“Semua pemain sentiasa bersedia menghadapi apa jua situasi dalam perlawanan. Selepas kami mendahului, mesejnya adalah untuk terus mencari gol kedua. Namun selepas mereka menjaringkan dua gol, kami cuba mencari jalan untuk bangkit tetapi gagal mendapatkan semula momentum.”

Tambah pemain Bayern Munich itu lagi: “Kami menikmati banyak detik positif sepanjang kejohanan ini. Kami mengharungi banyak perlawanan yang baik dan sekali lagi mara ke separuh akhir. Kami sering bercakap tentang semakin hampir mencapai sasaran. Kami memang sudah dekat. Kami hanya perlu mencari satu lagi elemen yang masih kurang.

“Kejohanan seperti ini benar-benar menguji fizikal dan mental. Ia menuntut pengorbanan yang besar, tekanan yang tinggi serta kekuatan mental. Kami telah menunjukkan semua itu sepanjang enam atau tujuh minggu bersama. Kami cuma masih belum menemui kepingan terakhir untuk melengkapkan segalanya.”

RELATED ARTICLES

Most Popular