HomeSukanNajmudin Akmal Berpeluang Tebus 'Dosa' di Bangkok

Najmudin Akmal Berpeluang Tebus ‘Dosa’ di Bangkok

Setelah menjadi sasaran kritikan penyokong susulan kegagalan menyerlah dalam aksi menentang Timor Leste, ia pastinya debut Harimau Malaya yang mahu dilupakan penyerang JDT II, Najmudin Akmal Kamal Akmal.

Pemain berusia 21 tahun itu diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Malaysia bangkit menewaskan Timor Leste 3-2, tetapi secara keseluruhannya tidak berjaya memberikan impak diharapkan.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan gaya rambutnya yang persis Marc Cucurella (tonggak Chelsea) lebih banyak menjadi perhatian penyokong berbanding aksi yang ditampilkan.

Dia mensia-siakan banyak peluang terhidang termasuk peluang 1 lawan 1 dan kelihatan agak gugup, sekaligus tampak masih terlalu jauh daripada standard seorang pemain kebangsaan.

Maka tidak hairan jugalah apabila penyokong kecewa dengan kelibatnya dan turut mempersoalkan bagaimana Pau Marti Vicente meletakkannya dalam kesebelasan utama bersama-sama tiga lagi penyerang lain – Syafiq Ahmad, Paolo Josue dan Darren Lok.

Ramai yang mengharapkan Vicente lebih peka dan waras dalam membuat pemilihan tatkala Malaysia akan berdepan pula dengan Thailand dalam aksi ketiga Piala ASEAN pada Sabtu.

Begitupun masalah besar juga buat Vicente, memandangkan untuk aksi selepas ini dia bakal kehilangan ramai pemain utama termasuklah Darren, Syafiq serta Fergus Tierney kerana kecederaan.

Baca juga: Semua Pemain Kecuali Pemain Sabah Pergi Ke Bangkok

Ini menyaksikan pilihan yang ada buat Harimau Malaya di barisan serangan sedikit terhad – hanya Paolo Josue dan Haqimi Azim yang merupakan penyerang dari skuad Liga Super. Maka Vicente berkemungkinan akan sekali lagi mempertaruhkan kelibat Najmudin untuk membentuk rangkaian barisan depan bagi menggempur Thailand.

Sekiranya mendapat kepercayaan sekali lagi, Najmudin perlu menggunakan sebaik mungkin peluang tersebut untuk menebus ‘dosa’ di perlawanan pertama.

Pemain ini mempunyai kepantasan, licik dan sebenarnya seorang pemain yang bagus, cuma mungkin sedikit rasa gugup dan gementar dalam penampilan sulungnya menyebabkannya tidak dapat menonjolkan prestasi sebenar.

Setiap pemain perlu diberikan peluang, begitu juga Najmudin. Ayuh kita sebagai penyokong Harimau Malaya mengharapkan pemain ini dapat bangkit dengan permainan lebih bertenaga.

Tunjukkan sokongan, berikan motivasi, mereka berjuang untuk mengharumkan nama negara.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!