HomeSukan"Semoga Doa Tidak Berbalik Kepada Anda dan Keluarga"

“Semoga Doa Tidak Berbalik Kepada Anda dan Keluarga”

Penjaga gol Haziq Nadzli teruk dikecam gara-gara kesilapannya yang membawa kepada gol tunggal Thailand, dalam aksi Piala ASEAN Mitsubishi Electric pada Sabtu.

Malaysia tewas 0-1 di Bangkok, gol yang berpunca dari kegagalan Haziq mengeluarkan bola dari kawasan bahaya seterusnya dalam kekalutan ‘terhantar’ bola kepada pemain Thailand, Suphanat Muenta.

Baca juga: Najmudin Akmal Berpeluang Tebus Dosa di Bangkok

Muenta kemudian melakukan assist kepada Patrick Gustavson yang mudah merembat masuk bola ke gawang terbuka. Bagi Vicente, dia cuba melihat sisi positif dari perlawanan ini berbanding satu kesilapan yang tidak disengajakan itu.

“Kita tidak layak mendapat keputusan ini tetapi inilah bola sepak. Kita menyerang dan bertahan dengan baik tetapi kita dihukum dengan satu kesilapan daripada penjaga gol.

“Kesilapan penjaga gol akan sering dihukum, tidak seperti pemain lain tetapi saya fikir Haziq menunjukkan persembahan yang hebat. Kita tidak boleh salahkan sesiapa untuk keputusan ini.

“Dia berada pada situasi sukar dan melakukan kesilapan. Semua pemain buat kesilapan jadi tugas kita adalah untuk memberi sokongan supaya tidak terlalu memikirkan mengenai perkara ini,” kata Vicente.

Eyra Hazali Kecewa

Di media sosial, segelintir penyokong bertindak kurang bijak, kurang matang, dengan pelbagai kata-kata kesat terhadap Haziq.

Ada yang turut mengorek sejarah lama pemain itu, di mana dia tertumbuk bola ke gawang sendiri pada final Sukan SEA 2017, juga menentang Thailand dan menyifatkan Haziq tidak pernah belajar dari kesilapan.

Tidak kurang, ada yang mendoakan perkara-perkara buruk sekaligus membuatkan isteri Haziq, Eyra Hazali tampil bersuara.

“Caci makian yang anda lemparkan, kami boleh terima. Tapi hinaan, mendoakan suami saya lumpuh dan melibatkan anak-anak kami adalah melampau.

“Saya berdoa semoga doa-doa itu tidak berbalik pada anda dan keluarga. Dan kami sentiasa ada untuk Haziq,” kata Eyra.

Malaysia selepas ini akan menentang Singapura dalam aksi terakhir kumpulan, dan membawa misi wajib menang.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!