Mentaliti Haziq Nadzli ditabik dan disifatkan sebagai ‘first-class’ selepas penjaga gol itu memperaga ‘man of the match performance’ ketika menentang Singapura dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala ASEAN.
Berikutan kesilapannya ketika menentang Thailand yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 0-1, Haziq Nadzli teruk dikecam dan dimaki hamun segelintir penyokong yang tidak profesional.
Ramai yang ‘mengorek’ sehingga ke kesilapannya pada Sukan SEA 2017 untuk mengatakan bahawa dia penjaga gol yang tidak boleh diharap, sekaligus mahu namanya digugurkan dalam aksi penting menentang Singapura.
Pau Marti Vicente bagaimanapun terus membariskannya dalam kesebelasan utama, dan Haziq membalas kepercayaan dengan menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga peluang Singapura untuk menjaringkan gol.
“Dia menutup mulut semua pengkritik. Begitulah pemain ada masa disanjung dan ada masanya dimaki hamun. Tapi Haziq menunjukkan profesionalisme yang cukup baik dengan memastikan dia beraksi baik dalam perlawanan ini.
“Tiada siapa yang pertikai apa yang dibuat Haziq pada malam ini. Dia menggagalkan percubaan tepat dan menafikan Singapura mendapatkan gol kemenangan.
“Pasukan kita sudah melakukan yang terbaik dan susun dengan baik dalam separuh masa kedua tetapi ia tidak cukup untuk layak ke separuh akhir,” kata bekas kapten skuad kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar.
Pendapat sama turut dikongsi Razman Roslan: “Bukan mudah untuk penjaga gol bangkit daripada kesilapan yang baru beberapa hari berlaku.
“Mungkin mudah untuk pemain pertahanan tapi bagi dia, tiada penjaga gol lain yang akan membantunya di dalam gawang. Dia cepat melupakan kesilapan lalu dan bangkit.
“Rezeki dia untuk menebus kekecewaan lalu. Boleh dikatakan dia adalah wira (mengelak Malaysia) daripada tewas,” katanya dalam program post-match Astro Arena.
Sementara itu, Haziq Nadzli pula menyifatkan kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dalam bolasepak.
“Bagi saya kesilapan itu adalah salah satu pembelajaran dalam bola sepak. Satu lagi cara permainan saya agak risiko sikit, sebab saya banyak menggunakan kaki.
“Jadi nak tak nak, saya kena terima dan belajar dari semasa ke semasa. Saya nak ucap terima kasih kepada jurulatih kerana jurulatih masih percayakan saya lagi, dan kawan-kawan dan staf banyak sokong daripada segi mental dan moral,” kata pemain yang beraksi secara pinjaman dengan Perak itu.