Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menafikan baginda bekerjasama ataupun dibantu oleh mana-mana laman pencari bakat dalam usaha mengenalpasti dan mendapatkan pemain-pemain warisan bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
Sebaliknya baginda menegaskan segala apa yang dilakukan dan sedang diusahakan adalah atas cara kerja dan kredibiliti beliau sendiri yang mempunyai ramai kenalan dalam arena bolasepak.
“Saya tiada sumber rapat, saya tak kenal pun orang ataupun page ni. Saya tiada kaitan dengan sesiapa dan mana-mana pihak. Saya hanya diminta bantu kerajaan Malaysia, KBS, FAM dan bekerja dengan pasukan saya sendiri untuk membantu pasukan kebangsaan dalam struktur, kemudahan latihan, teknologi, pendedahan dan berhubung dengan organisasi bolasepak berjaya yang saya kenali.
“Kalau fikir secara rasional dan berdasarkan fakta, saya adalah satu-satunya yang kamu ada. Yang lain setakat bercakap, tak sanggup beri sokongan kewangan, dan kenalan mereka pun tak seberapa.
“Saya ada infrastruktur, alhamdulillah rezeki dan hubungan dengan dunia bolasepak secara global dan berjaya. Saya adalah satu-satunya yang kamu ada buat masa ini. Jadi, suka tak suka, minta maaf,” tulis Tunku Ismail di laman X.
Kenyataan dibuat Tunku Ismail ataupun TMJ, hadir selepas penyokong-penyokong mula meragui kesahihan maklumat dikongsikan sebuah laman pencari bakat popular setelah Isaac Hayden menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Sebelum ini, laman pencari bakat yang dimaksudkan itu bertanggungjawab menyebarkan info bahawa Isaac merupakan antara pemain berdarah Malaysia yang sedang dirisik TMJ untuk mewakili Harimau Malaya.
Malah, laman tersebut juga seringkali memberi gambaran seolah mereka kerap berhubung dan sedang bekerjasama erat dengan TMJ, selain mempunyai segala maklumat siapakah pemain-pemain yang berpotensi dibawa masuk ke skuad kebangsaan.
Malah, baru-baru ini, mereka juga telah mewujudkan satu platform telegram dan mengenakan bayaran kepada penyokong-penyokong untuk menjadi yang terawal mengetahui sebarang maklumat terkini.