HomeSukanHasmawi: "Tak Masuk Akal Jika Bolasepak Kedah Berkubur"

Hasmawi: “Tak Masuk Akal Jika Bolasepak Kedah Berkubur”

Bekas penyerang Kedah, Hasmawi Hassan menyifatkan situasi yang melanda arena bolasepak Kedah ketika ini sebagai sesuatu yang tidak pernah dijangka.

Pasukan Kedah Darul Aman (KDAFC) bergelut dengan masalah kewangan kritikal yang membawa tunggakan gaji mencecah sembilan bulan, dan pelbagai spekulasi diperkatakan mengenai masa depan mereka termasuklah bakal berkubur.

Malah baru-baru ini pemilik KDAFC, Tan Sri Daud Bakar juga mengeluarkan kenyataan menceritakan situasi semasa kelab itu yang menurutnya hanya bergantung kepada sumbangan hanya seorang pemilik saham untuk terus bertahan.

Baca Juga: KDAFC Bergantung Kepada Sumbangan Seorang Pemilik Saham

Bagi Hasmawi yang pernah menabur bakti bersama skuad Hijau Kuning selama beberapa tahun dan antara tonggak penting ketika mereka menjulang double-treble, dia sedih mengenangkan pemain-pemain berjuang dalam keadaan serba kekurangan.

Harapannya, situasi KDAFC tidak bertambah buruk dan dapat diselamatkan dan akan terus bersaing di pentas tertinggi bolasepak tanah air.

“Kedah adalah salah satu pasukan elit yang sentiasa memberikan cabaran di kancah bola sepak tempatan. Tetapi akhir-akhir ini kita nampak, berlaku perkara sebegini. Allahu Akbar, amat-amat menyedihkan kerana kami biasa melakar sejarah dan pelbagai sejarah sudah dilakar oleh Kedah sendiri.

“Dengan tanggungjawab sebagai seorang yang memiliki keluarga, dengan tanggungjawab sebagai seorang pemain bola sepak untuk merancakkan industri bola sepak Malaysia, tetapi dengan keadaan yang tidak mendapat gaji, apa yang boleh kita jangkakan daripada pemain ini? Apa yang kita jangkakan dengan kata kunci ‘bermain untuk lencana di dada’?

“Kita nampak usaha daripada pihak pengurusan untuk melakukan sesuatu tetapi ia tidak cukup. Mereka memerlukan bantuan daripada semua pihak yang mampu untuk menyelamatkan bola sepak Kedah.

“Ia tidak masuk akal jika Kedah tiada lagi dalam arena bola sepak tempatan. Ia tidak boleh diterima,” katanya kepada Astro Arena.

Gesa Anak Kedah Membuat Sesuatu Demi KDAFC

Dalam kenyataan Daud Bakar sebelum ini, beliau menggesa anak-anak Kedah yang berhati murni dan berdarah hijau kuning, agar berbuat sesuatu untuk selamatkan pasukan itu.

“Mengharapkan sesuatu dan membuat sesuatu adalah dua perkara yang berbeza. Bagi pihak yang telah memberi komitmen untuk membantu Kedah FC, tunaikanlah tanggungjawab, janji dan komitmen anda.

“Bagi pihak saya, saya akan terus berusaha mencari jalan dalam mencari dana untuk menjelaskan apa yang tertunggak kepada semua mereka yang berjasa dan yang masih mampu bermain dalam serba kekurangan. Saya tidak akan lari dari tanggungjawab saya.

“Kalau anda ingin membantu, sila hubungi kami. Kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama, dana, serta sokongan yang mampu membantu KDA FC untuk terus berjuang demi maruah bola sepak negeri Kedah.

“Sebagai kesimpulan, kami ingin menekankan bahawa pihak KDA FC akan meneruskan penyertaan kami dalam musim ini dengan izin Allah. Usaha akan diteruskan.

“Pihak KDA FC juga ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada semua orang dan pihak yang sentiasa membantu KDA FC dalam apa saja bentuk dan keadaan – kewangan, motivasi dan inspirasi, mudah cara dan doa – termasuk juga para penyokong yang tetap setia ke stadium di tempat sendiri atau lawan. Sikap dan watak anda memberi sedikit cahaya di malam yang gelap.”

Foto kredit: Kelab Legasi Kedah/Gallery Hazriq Fahimy

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!