Keyakinan cukup tinggi di kem Buriram United, betapa mereka dapat menyingkirkan jagoan Liga Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) meskipun bakal bertandang ke gelanggang keramat Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Februari nanti.
Kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi pertama pusingan Round of 16 di Stadium Buriram pada Selasa lepas, dan kelebihan nampak memihak kepada JDT yang akan ditemani sorakan penyokong sendiri pada aksi kedua.
Begitupun, ketua jurulatih Buriram United, Osmar Loss tidak melihat ia sebagai satu masalah, dan berpendapat peluang mencipta kemenangan tetap terbuka luas dan percaya anak buahnya boleh mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir.
Menurutnya, setiap perlawanan menentang JDT memberikan cabaran berbeza tetapi menegaskan pasukannya mempunyai masa seminggu untuk membuat persiapan bagi mencipta kejutan menewaskan skuad Harimau Selatan di gelanggang sendiri.
“Setiap perlawanan kami lalui adalah berbeza. Pada perlawanan pertama peringkat liga, Buriram United menerima kad merah pada penghujung babak pertama, tetapi hari ini ia perlawanan berbeza kerana kedua-dua pasukan bermain dengan 11 pemain sepanjang 90 minit.
“Kami ada seminggu untuk mempersiapkan pasukan sebelum ke Johor. Kami berharap untuk melakar kemenangan di sana. Selepas aksi pertama ini, saya percaya pemain kami lebih yakin. Bertandang ke Malaysia untuk perlawanan kedua, saya percaya kami mampu mara ke pusingan seterusnya,” katanya seperti dipetik dalam portal rasmi AFC di www.the-afc.com.
Loss ketika mengulas mengenai aksi yang berkesudahan tanpa jaringan di depan penyokong sendiri berkata, anak buahnya kurang bernasib baik kerana gagal mencipta kemenangan walaupun lebih banyak mendominasi permainan dan mencipta peluang menjaringkan gol berbanding JDT.
Beliau berkata kekentalan bentang pertahanan JDT sepanjang 90 minit permainan turut mempengaruhi keputusan itu.
Ini pertemuan kedua antara JDT dan Buriram dalam ACL Elite musim ini selepas seri tanpa jaringan dalam saingan peringkat liga di Stadium Sultan Ibrahim, Disember lepas.