Khabar gembira buat penyokong Terengganu FC apabila pasukan itu mengumumkan pemain sayap Akhyar Rashid, kini telah menjadi milik tetap mereka.
Pemain berusia 25 tahun itu telah menandatangani kontrak selama dua musim bersama gergasi pantai timur itu, yang akan menyaksikannya kekal sehingga tamat musim 2026/27.
Akhyar sebelum ini bermain dengan Terengganu secara pinjaman daripada JDT dan telah menjadi antara tonggak mereka sepanjang saingan musim 2024/25 yang sedang berlangsung.
Baca Juga: Penyokong TFC Minta Jasa Baik TMJ Lepaskan Akhyar, Safawi
“Melihatkan impak yang diberikan pemain ini dalam mengangkat nama Terengganu FC dalam pertandingan domestik dan juga di peringkat Asean, kelab ini telah membuat permohonan secara rasmi untuk menandatangani pemain ini secara tetap dari kelab JDT.
“Permohonan ini telah diperkenankan oleh Tunku Mahkota Johor DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan bersetuju untuk melepaskan pemain ini khas untuk kelab Terengganu FC dan pemain ini boleh beraksi bersama Terengganu FC sebagai pemain tetap.
“Pihak kelab mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keputusan ini dan diharapkan kehadiran Akhyar ini terus mampu meningkatkan lagi kualiti pasukan ini untuk baki musim ini dan musim-musim akan datang.
“Akhyar Rashid juga mengucapkan ucapan terima kasih buat kelab JDT dan juga Tunku Mahkota Johor atas segala perkara yang telah dicurahkan buat beliau sebelum ini dalam menjadikan beliau sebagai seorang pemain yang profesional.
“Melihatkan peningkatan kualiti Akhyar secara terus menerus bersama kelab ini, keputusan yang dilakukan untuk melepaskan beliau untuk bersama Terengganu FC secara tetap ini dilihat sebagai salah satu cara bagi memelihara salah seorang pemain yang dikira sebagai aset pasukan kebangsaan dimana khidmat pemain ini sangat diperlukan oleh skuad Harimau Malaya.
Dengan perkhabaran ini juga, Akhyar boleh turun bermain dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang JDT pada 17 Januari dan 1 Februari depan.