HomeSukanAnnuar Jamin Hutang KDNFC (Real Warriors) Akan Diselesaikan

Annuar Jamin Hutang KDNFC (Real Warriors) Akan Diselesaikan

Segala hutang tunggakan gaji pemai-pemain dan jurulatih Kelantan The Real Warriors, atau nama lama mereka Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) akan diselesaikan musim ini.

Itu jaminan diberikan Tan Sri Annuar Musa, yang kini bertindak sebagai Presiden baru kelab itu berkuatkuasa hari ini.

“Semua hutang-hutang akan dibayar, kita beri peluang siapa yang nak segera, dia (pemain) bagi diskaun kalau yang tak mahu bagi diskaun, mereka berhak ini gaji mereka tetapi kita akan bayar dan lunaskan musim ini juga.  

“Tunggakan ini membabitkan gaji bulan Februari, Mac dan April tahun ini bagi perlawanan musim lalu, yang hutang tahun 2024 ke belakang kita dah selesaikan,” kata Annuar kepada pemberita pada sidang media di Stadium Sultan Muhammad IV.

Beliau turut menjelaskan bahawa kelab itu telahpun menyelesaikan tujuh daripada sembilan kes di bawah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan pemain import.

Tambah Annuar lagi, pemain dan pengurusan juga boleh berhubung dengan beliau sebagai ‘bapa’ bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan ratusan ribu bagi pemain dan pengurusan musim 2024/25.  

“Bagaimanapun pendekatan ansuran perlu dibuat memandangkan pasukan juga perlu membuat persediaan bagi sepak mula Liga Super, Ogos ini.  

“Bila saya terajui kelab ini saya nak semua orang faham, pertama pasukan kena cemerlang, tak boleh buat ala kadar, jadi belasahan orang.

“Kita kena angkat daya kompetitif iaitu kena berbelanja, kita nak mantapkan pasukan dan ambil komitmen nak selesaikan hutang. Untuk pasukan lebih bagus, kita kena ambil import baru, kita terpaksa keluarkan duit,” ujarnya.  

Baca Juga: Makin Ramai Persoal Bagaimana MFL Luluskan Lesen KDNFC

Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, dia berhasrat membina model bisnes bola yang lebih mampan tanpa mengeluarkan belanja berlebihan tetapi hasil kompetitif.

Sementara itu, mengenai persiapan pasukan, Annuar memberitahu ia sudah masuk 98 peratus dengan dua per tiga pemain adalah di kalangan pemain tempatan selain 10 import.

Beliau menyasarkan Real Warriors mampu menduduki kelompok 10 terbaik dalam Liga Super musim 2025/26. Untuk rekod, pada musim lalu, pasukan ini menduduki tangga tercorot dengan hanya mengutip tujuh mata dari 24 perlawanan.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!