HomeSukanBajet Tak Sampai RM10 Juta Setahun, Macam Mana Penang FC Bertahan?

Bajet Tak Sampai RM10 Juta Setahun, Macam Mana Penang FC Bertahan?

Di sebalik bajet kecil di antara Rm8 juta hingga RM12 juta setahun, Penang FC terus bertahan dalam saingan Liga Super. Malah pasukan ini tidak banyak kontroversi, dan bersih daripada tunggakan gaji. Bagaimana mereka melakukannya?

Semuanya kerana kecekapan dalam pengurusan kewangan, di mana pasukan itu mengekalkan disiplin ketat, tidak berbelanja melebihi kemampuan.

“Kami semak semua perbelanjaan secara bulanan, akaun mesti seimbang. Kalau melebihi bajet, perlu rujuk lembaga,” kata Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew sepertimana dilaporkan Flash Sukan.

Jeffrey menjelaskan walaupun ada peningkatan dari segi kehadiran penyokong di Stadium Bandaraya musim ini, mereka tidak menjadikan ia sumber pendapatan utama kerana penyokong hanya memenuhi stadium pada perlawanan besar seperti menentang JDT dan Selangor.

Tegasnya, cabaran utama Penang FC termasuk kos tinggi untuk aksi di Sabah dan Sarawak, dan ia lebih membebankan jika jadual berubah saat akhir

Mengenai gaji pemain dan jurulatih, menurutnya ia ditentukan berdasarkan kemampuan kelab dan bukan populariti.

“Kalau pemain atau jurulatih minta lebih dari bajet, walaupun bagus, kami takkan ambil. Itu polisi kami. Penang FC bukan kedekut, tapi realistik.

“Kalau belanja lebih, hujung musim kita sendiri yang susah. Kami yakin model ini walaupun sukar, tetap berkesan untuk jangka panjang,” kata Jeffrey.

Jeffrey turut menjelaskan, pemilihan pemain sepenuhnya di tangan jurulatih dan bukannya pihak pengurusan atau lembaga. Mereka tidak sewenang-wenangnya merekrut pemain dan membawa masuk pemain import mengikut nafsu.

“Kami percaya kepada pengalaman dan pandangan jurulatih. Dengan bajet yang ada, tugas jurulatih penting untuk kenal pasti pemain berkualiti, bukan popular semata-mata,” ujar Jeffrey lagi.

Sebagai rekod, Penang FC bagi musim 2024/25 menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10 dengan 26 mata. Manakala dalam saingan Piala FA mereka mara hingga ke suku akhir, dan tersingkir seawal pusingan pertama di Piala Malaysia.

Bagi saingan musim baru nanti, Penang FC akan dikendalikan Wan Rohaimi Wan Ismail yang dibawa masuk menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada penghujung musim lalu.

Baca Juga: Wan Rohaimi, Antara Jurulatih Terbaik Pernah Dilahirkan NFDP

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!