HomeBAM Enggan Dedah Tuntutan Pearly-Thinaah

BAM Enggan Dedah Tuntutan Pearly-Thinaah

Benarkah ada tuntutan yang tidak dapat dipenuhi punca beregu wanita sensasi negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan (Pearly-Thinaah) dikatakan mahu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)?

Kontrak dua pemain itu dilaporkan telah tamat pada Januari lalu, dan masing-masing belum menandatangani kontrak baru, dikhabarkan masih dalam proses rundingan terhadap tuntutan yang dikemukakan.

Namun tempoh masa lama yang diambil untuk berunding, mengundang khabar angin mereka bakal keluar BAM dan bergelar pemain profesional.

Mengulas spekulasi tersebut, Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh berkata :
“Saya tidak tahu sama ada mereka akan keluar ataupun tidak, saya tidak mahu membuat spekulasi. Yang kedua, mereka masih berlatih di BAM dan apa yang saya perhati mereka gigih berlatih dan komitmen mereka masih kuat ia paling penting buat saya.

“Buat masa ini saya amat gembira mereka berlatih dengan gigih.. bila kontrak sudah habis kita akan buat perbincangan dan kalau anda pun kontrak sudah habis minta gaji lebih dan itu adalah perkara biasa.

“Tuntutan mereka, saya tidak boleh dedah. Kontrak mereka habis bulan Januari tempoh hari. Sekarang masih dalam rundingan, biasalah tengah berunding.”

Manakala ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak pula memberitahu dia tidak mengambil tahu apa tuntutan dikemuka pasangan ranking kelima dunia itu kepada BAM namun mengharapkan mereka akan kekal bersama BAM.

“Nama pun khabar angin, dalam latihan tidak ganggu apa-apa. Bukan urusan saya mengenai perkara berkenaan. Urusan saya hanya tertumpu kepada latihan dan persiapan untuk kejohanan yang akan datang.

“Selagi tiada gangguan terhadap latihan dan fokus mereka ke arah kejohanan yang akan datang, bagi saya tiada isu apa-apa.

“Saya tidak perlu tanya apa-apa kepada mereka (tinggalkan BAM) kerana saya tidak terbabit dalam hal ini. Seperti yang saya katakan, tidak ada masalah dalam latihan mereka. Itu adalah perkara utama bagi saya.

“Saya tidak tahu mengenai urusan mereka (tuntutan) secara terperinci kerana saya lebih fokus kepada latihan mereka,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!