Skuad kebangsaan Harimau Malaya tidak akan menyertai Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang dijadual berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September depan.
Keputusan itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menyatakan keputusan itu dibuat berasaskan tanggungjawab terhadap kebajikan pemain, kerjasama erat bersama kelab, serta komitmen kepada kemajuan berterusan bola sepak negara.
Menurut kenyataan rasmi badan induk itu: “Walaupun pada awalnya kami amat berbesar hati dan teruja untuk menyertai kejohanan ini, perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang kini jatuh di luar kalendar antarabangsa FIFA telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.
“Perubahan tarikh yang berlaku pada saat akhir ini memberikan cabaran segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.
“Situasi ini secara langsung menjejaskan usaha kami untuk membentuk skuad terbaik bagi kejohanan tersebut, lebih-lebih lagi apabila beberapa pemain utama kami beraksi di liga-liga utama seperti Sepanyol, Argentina, Colombia & Jepun.”
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski mengakui keputusan dibuat FAM adalah tepat dan menyatakan fokus kini adalah menjadikan kalendar September untuk mengadakan kem latihan pusat.
“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia & Jepun. Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini.
“Selain itu, isu logistik, keperluan pemulihan pemain, serta implikasi terhadap bajet keseluruhan turut menjadi faktor penting. Saya tidak mahu menjejaskan kebajikan serta kondisi pemain atau menyertai kejohanan dengan skuad yang tidak lengkap.
“Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik. Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal.”
Tambah FAM lagi, selain isu pelepasan pemain, cabaran lain seperti perjalanan jarak jauh, kekangan penerbangan terhad serta keperluan mematuhi peraturan FIFA yang menetapkan rehat minimum 72 jam antara perlawanan turut membawa kesukaran tersendiri.
“Keutamaan harus diberikan untuk memastikan kondisi, prestasi dan konsistensi pemain serta pasukan tidak terjejas.
“Sebagai langkah alternatif, skuad kebangsaan akan melaksanakan kem latihan penuh di Kuala Lumpur pada bulan September. Kem ini akan menjadi platform utama dalam memperkukuhkan persiapan menjelang Pusingan Kelayakan Piala Asia yang semakin hampir.
“FAM memahami kekecewaan segelintir penyokong yang menantikan aksi Harimau Malaya dalam kejohanan serantau ini. Namun, keputusan ini dibuat setelah pertimbangan menyeluruh terhadap kepentingan jangka panjang skuad kebangsaan dan keperluan mengekalkan prestasi kompetitif yang mampan.”