HomeSukanBelajarlah Dari Kesilapan, "Tukar Balik Format Piala Malaysia"

Belajarlah Dari Kesilapan, “Tukar Balik Format Piala Malaysia”

Malaysian Football League (MFL) digesa supaya mengembalikan semula penganjuran Piala Malaysia mengikut tradisi lama. Pertamanya diadakan selepas berakhir saingan Liga Super, dan yang kedua menukar format pertandingan berasaskan kumpulan.

Pandangan itu disuarakan pemerhati bolasepak tanah air Sadek Mustaffa yang berpendapat MFL perlu bertindak setelah melihat sambutan yang cukup hambar bagi saingan Piala Malaysia musim 2024/25 yang menutup tirai bulan lalu.

“Dah terbukti daripada dulu, Piala Malaysia ada pengikut tersendiri dan lebih menghadirkan elemen kejutan dan hiburan kepada penyokong. Jadi saya fikir MFL kena ubah kembali ke format lama dan tidak menjalankan serentak dengan Liga Super.

“Piala FA tidak mengapa ia boleh dikekalkan serentak dengan Liga Super tapi bukan Piala Malaysia, kerana sejarah membuktikan Piala Malaysia sentiasa dinantikan penyokong dan ia dapat dilihat jumlah kehadiran lebih ramai daripada saingan liga.

“Mekanisma mengasingkan kembali bagi saya perlu, di mana kemerosotan jumlah penonton dalam liga sebenarnya boleh ditutup apabila bermulanya kempen Piala Malaysia.

“Jika tidak diubah dan kekal untuk musim depan, kita akan lihat trend penurunan penyokong lebih teruk lagi selepas ini dan ia akhirnya akan menjejaskan kemasukan penaja.

“MFL boleh jadikan sambutan hangat jutaan peminat dalam Piala Malaysia sebagai modal menunjukkan draf kehadiran penyokong yang ramai kepada potensi penaja. Tetapi jika tetap dengan format serentak, saya fikir agak susah untuk penaja masuk dan ia merugikan,” katanya dilaporkan Arena Metro.

Sebagai rekod, secara tradisinya saingan Piala Malaysia hanya akan bermula selepas kempen Liga Super berakhir. Namun, pada musim lepas MFL membuat pembaharuan menganjurkan serentak kesemua tiga pertandingan di bawah kelolaan mereka.

Lebih melucukan, jarak aksi final dan aksi separuh akhir Piala Malaysia baru-baru ini terlalu jauh iaitu hampir tiga bulan sekaligus menyebabkan hilangnya keterujaan penyokong. Kehadiran final tidak sampai 60,000 penyokong juga merupakan buat pertama kalinya aksi final tidak full-house.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!