Bendera Malaysia yang kembali diletakkan di profil tujuh pemain warisan negara yang ketika ini digantung FIFA di lama Transfermarkt, tidak membawa maksud apa-apa.
Demikian menurut ejen bolasepak yang berpengalaman lebih 30 tahun, Effendi Jagan Abdullah seperti dilaporkan Arena Metro. Tegasnya, data dan statistik di laman web itu tidak semestinya tepat kerana ia boleh diedit oleh sesiapa sahaja yang mempunyai akses berbayar seperti ejen pemain ataupun kelab mereka.
Dengan FIFA belum membuat sebarang pengumuman terkini mengenai status tujuh pemain – Gabriel Palmero, Hector Hevel, Rodrigo Holgado, Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Joao Figueireido – Effendi percaya bendera itu dikemaskini pihak yang mempunyai akses berbayar.
“Macam kita sebagai ejen, kita perlu bayar untuk melanggan atau dalam bahasa mudahnya ‘subscribe’ untuk masuk ke dalam laman web itu.
“Bagi orang biasa, mereka hanya boleh melihat data yang ada, tetapi untuk ejen yang sememangnya menjadikan web berkenaan sebagai rujukan atau panduan, mereka akan melanggan untuk mengemaskini data dan statistik dalam web itu.
“Jadi profil mereka boleh dikemaskini siapa sahaja yang ada akses, latar belakang juga boleh ditukar, tidak semestinya tepat. FIFA juga belum mengeluarkan keputusan, jadi ia kekal sebagai spekulasi.
“Bagi saya, kita kena tunggu pengumuman rasmi apabila FIFA memberi perkembangan seterusnya mengenai status tujuh pemain itu,” kata Effendi.
Terdahulu, penyokong bolasepak tanah air melihat ada bayangan positif terhadap nasib tujuh pemain warisan yang digantung setelah melihat bendera Malaysia kembali terpapar pada profil mereka sedangkan ia bukanlah laman rasmi di bawah FIFA.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudahnpun mengemukakan rayuan terhadap dakwaan pemalsuan dokumen dan identiti pemain-pemain terbabit, dan sedang menanti keputusan untuk diumumkan.