Situasi yang dialami Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya mengecewakan, namun dalam waktu seperti ini, melihat kepada perkara positif adalah kunci utama.
Penyerang JDT, Bergson Da Silva, mengakui kehilangan tiga rakan sepasukannya – Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – yang digantung susulan sekatan FIFA minggu lalu adalah sesuatu yang sukar kerana mereka memainkan peranan penting dalam pasukan.
Namun begitu, Bergson, yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman liga, berkata ketiadaan tiga pemain tersebut turut membuka ruang kepada pemain lain untuk tampil menyerlah.
“Kami berasa kasihan kepada mereka kerana mereka sangat penting buat pasukan. Tetapi kami faham situasi ini, tambahan pula kami mempunyai skuad besar – hampir 40 pemain.
“Jadi semua orang perlu bersedia untuk saat ini kerana perkara baik akan berlaku apabila anda bekerja keras, dan apabila peluang mengetuk pintu, anda mesti bersedia.
“Bagi pemain yang sebelum ini jarang diturunkan, inilah peluang mereka dan mungkin menjadi detik penting untuk kami musim ini,” kata Bergson.
JDT beraksi tanpa kelibat tiga pemain tersebut ketika seri tanpa jaringan menentang kelab Jepun, Machida Zelvia, dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Ia adalah mata pertama mereka dalam kempen ACLE musim ini, setelah terdahulu tewas 1-2 kepada Buriram United dalam aksi sulung pada 16 September.
Jumaat lalu, FIFA telah mendenda FAM sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta) dan menggantung tujuh pemain kacukan Malaysia selama 12 bulan – Figueiredo, Irazabal, Hevel, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero – selepas didapati berlaku pemalsuan dokumen pendaftaran mereka sebelum kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada Jun lalu.
FAM bagaimanapun akan membuat rayuan, namun menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman FIFA sebelum berbuat demikian.