Pahang Rangers kehilangan sentuhan ketua jurulatih, Luis Fonseca Cilerros bagi musim baru Malaysian Premier Futsal League. Kelab itu mengumumkan telah berpisah dengan jurulatih dari Sepanyol itu secara persetujuan bersama berkuatkuasa Jumaat (10 Oktober).
Masa depan Fonseca di Pahang Rangers sememangnya menjadi tanda tanya sejak beberapa bulan lalu, meskipun dia berjaya mencapai KPI yang ditetapkan pihak pengurusan.
Dia yang menyertai pasukan itu pada Ogos 2024, memimpin pasukan menduduki tangga ketiga MPFL, sebelum muncul naib juara Malaysia pada Ogos lalu sekaligus memperbaiki pencapaian tempat ketiga pada 2024.
Ketika dihubungi Otai Station, Fonseca menyatakan: “Saya terpaksa meninggalkan pasukan atas sebab peribadi dan keluarga. Ini bukan sekadar sebuah pasukan, tetapi lebih daripada itu.
“Membimbing pasukan ini adalah antara perkara terbaik berlaku dalam hidup saya. Bekerja dengan golongan profesional, mengenali dan berkongsi kepakaran satu sama lain, melihat pemain muda berkembang, dan lebih penting bertemu dengan orang-orang yang baik dan pekerja yang baik.
Baca Juga: “Fonseca: Sekarang Anda Percaya, Kami Lebih Baik Dari JDT?”
“16 bulan saya di sini, saya menikmati 100 peratus kerja saya. Sejujurnya saya mahu terus kekal, tetapi saya harus pergi. Mungkin saya akan kembali pada masa akan datang, terima kasih kepada kelab ini kerana memberikan satu pengalaman dan kenangan yang baik buat saya.
Fonseca merupakan antara jurulatih yang cukup mencuri tumpuan dalam saingan MPFL atas kelantangannya bersuara mengkritik mutu pengadilan, dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat provokatif dan perang psikologi terhadap pasukan lawan.
Baca Juga: Tewas Kepada JDT, Fonseca Minta FAM Baiki Mutu Pengadilan
Sebagai rekod, Fonseca merupakan pengendali import kedua Pahang Rangers, selepas Gerard Casas yang membimbing pasukan itu dari 2020 hingga pertengahan 2024.
Selain Fonseca, Pahang Rangers turut mengucapkan selamat tinggal kepada seorang lagi anggota barisan kejurulatihan, iaitu David Llorente Cobeno.
“David yang memainkan peranan penting sebagai physical trainer, memilih pulang ke Madrid setelah tamat saingan musim 2025, untuk melanjutkan pelajaran,” menurut kenyataan kelab itu.