HomeSukan"Biarlah Mereka Menang Tanpa Bertanding" - Naib Presiden FAM

“Biarlah Mereka Menang Tanpa Bertanding” – Naib Presiden FAM

Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) menjadi satu-satunya ahli gabungan yang tidak menghantar borang pencalonan bagi kongres pemilihan barisan kepimpinan baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 15 Februari depan.

Dengan tempoh pencalonan telahpun berakhir pada Khamis, Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed yang juga Naib Presiden FAM berkata tindakan itu diambil kerana pihaknya hilang kepercayaan terhadap Jawatankuasa Pemilihan FAM.

Ia jelas mengejutkan memandangkan Mohd Firdaus antara calon dicanang untuk bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden badan induk itu yang ketika ini disandang Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S.Sivasundaram.

Baca Juga: Isu Tipu Borang Pencalonan Cemari Kongres Pemilihan FAM

Mohd Firdaus mendakwa jawatankuasa pemilihan kurang telus sekaligus mengambil tindakan drastik untuk tidak bertanding.

“Saya sudah hilang kepercayaan terhadap Jawatankuasa Pemilihan FAM dan sebab itu mengambil tindakan untuk tidak menghantar borang pencalonan sehingga tarikh tutup semalam (Khamis).

“Mungkin jika hantar adalah perkara sia-sia kerana Jawatankuasa Pemilihan kali ini agak meragukan. Biarlah calon yang ada menang tanpa bertanding,” katanya kepada BH Sukan.

Terdahulu FAM dalam satu kenyataan memaklumkan Jawatankuasa Pemilihan telah mengadakan mesyuarat bagi membuka dan menyemak borang pencalonan sejurus tempoh untuk ahli gabungan mengemukakan borang pencalonan berakhir.

Jawatankuasa Pemilihan FAM adalah badan bebas yang dipengerusikan oleh Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said dan dianggotai tiga ahli jawatankuasa iaitu Datuk Ab Jalil Abdullah, Salleh Ramli dan Fong Wan Hor.

Selepas proses pengiraan, FAM pada Jumaat telahpun mengumumkan senarai awal nama 29 calon yang layak bertanding bagi mengisi 17 kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029.

Bagi jawatan Presiden, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dijangka menang tanpa bertanding sekaligus menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang melepaskan jawatannya.

Begitu juga bagi jawatan Timbalan Presiden, bakal kekal menjadi milik Mohd Yusoff dan Sivasundaram.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!