HomeSukanBintang Palestin Terkorban Ketika Tunggu Bantuan Makanan

Bintang Palestin Terkorban Ketika Tunggu Bantuan Makanan

Dunia bola sepak Palestin kehilangan permata berharga apabila bekas penyerang kebangsaan, Suleiman al-Obeid, 41, digelar ‘Pele Palestin’, terkorban dalam serangan udara rejim Israel di selatan Gaza, kelmarin.

Menurut Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Obeid maut ketika sedang menunggu bantuan kemanusiaan bersama orang awam lain apabila lokasi itu dibedil tentera Israel.

“Sepanjang kerjayanya, Obeid menjaringkan lebih 100 gol dan menjadi antara bintang paling bersinar dalam sejarah bola sepak Palestin,” kata PFA dalam satu kenyataan.

Anak kelahiran Gaza itu memulakan kariernya bersama Khadamat al-Shati sebelum menyertai Markaz Shabab al-Am’ari di Tebing Barat serta Gaza Sport. Dia menyarung jersi kebangsaan sejak 2007, mengumpul 24 kaps dan dua jaringan termasuk sepakan gunting menakjubkan ketika menentang Yaman dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Barat 2010.

Kerana kehebatannya, Obeid digelar ‘Pelé Palestin’, sempena nama lagenda Brazil, Pele yang dianggap antara pemain terhebat sepanjang zaman.

Namun pemergiannya menambah pilu buat komuniti sukan Palestin yang terus menjadi mangsa konflik.

Menurut PFA, seramai 421 pemain bola sepak, termasuk 103 kanak-kanak, terkorban akibat serangan atau kebuluran sejak perang tercetus, selain 662 atlet dan ahli keluarga turut terkorban.

“Sebanyak 288 fasiliti sukan turut musnah atau rosak teruk, termasuk stadium, gimnasium, padang latihan dan pejabat kelab – dengan 268 daripadanya di Gaza,” kata PFA lagi.

Malah, ibu pejabat PFA di Gaza turut dibedil dalam satu serangan udara.

Obeid meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.

Pemergiannya bukan sekadar kehilangan seorang legenda sukan, tetapi turut memadamkan impian dan inspirasi ribuan anak muda Palestin yang menjadikan bola sepak sebagai sinar dalam gelapnya penjajahan. – AGENSI

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!