Impian dan cita-cita Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Friend membawa Malaysia beraksi di Piala Dunia, tidak seharusnya diketawakan atau diperlekehkan.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir berkata sasaran ditetapkan Friend seharusnya dikagumi dan diberikan sokongan, tetapi pelik apabila ada yang sinis dan menganggap ia hanya angan-angan Mat Jenin.
“Dia mahu bawa Malaysia ke Piala Dunia, jadi kenapa pula kita nak kata mimpi atau sebagainya. Jangan cakap begitu, sebab dulu pun kita tak pernah mimpi boleh layak ke Olimpik 1972 dan 1980.
“Buang segala pemikiran negatif, sekarang fokus secara positif yang mana kita nak tengok pasukan Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit dan kita nak tengok juga yang kita boleh masuk Piala Dunia.
“Netizen pun cukup-cukuplah, jangan hanya tahu mengutuk sahaja. Itu bukan budaya kita, budaya itu patut dibuang. Kita mahu tengok Harimau Malaya kali ini naik dengan sokongan kita semua, bukan kutukan,” katanya dipetik daripada BH Sukan.
Sebagai makluman, Rob Friend yang hadir ke Malaysia dengan portfolio hebat, memberitahu visi besarnya merubah wajah skuad Harimau Malaya dan membawa mereka beraksi di Piala Dunia satu hari nanti ketika memulakan tugasnya pada awal Januari tempoh hari.
Dan dalam usaha mencapai cita-cita itu, revolusi besar sedang dilaksanakan, termasuklah mendapatkan pemain-pemain warisan berkualiti dengan proses mendapatkan kerakyatan bagi beberapa pemain sudah berada di fasa akhir.
Selain itu, beberapa pemain import di Liga Malaysia antaranya Manuel Hidalgo dan Bergson dan Silva akan dinaturalisasikan bagi memperkuatkan Harimau Malaya.
Manakala Dr Craig Duncan pula dilantik sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan, bagi mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentasi semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia.