Kelantan Red Warrior FC yang akan diperkenalkan secara rasmi pada 21 Disember dikatakan akan mengembalikan kegemilangan bolasepak Kelantan.
Sejak beberapa hari lepas, bertebaran spekulasi di media sosial bahawa bolasepak Kelantan akan kembali bernyawa.
Ini berikutan posting dari sebuah page facebook Kelantan Red Warrior FC yang menjadi tular, menyatakan “Go Strong, Kelantan is Back”.
Berdasarkan pengumuman terbaru dibuat di page tersebut, mereka memaklumkan pelancaran rasmi Kelantan Red Warrior akan dibuat pada 21 Disember di Hotel Grand Renai.
“Majlis ini lebih daripada sekadar pelancaran sebuah kelab bolasepak. Ia adalah simbol harapan, kebangkitan dan semangat seluruh rakyat Kelantan.
“Sokongan anda adalah tulang belakang kepada Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) ini. Kita akan membina masa depan baru bolasepak Kelantan dan mengembalikan kegemilangan yang pernah kita miliki,” menurut kenyataan itu.
Baca juga: Treble 2012, Bukan Sekadar Satu Kebanggaan
Pastinya ia satu berita gembira buat penyokong bolasepak Kelantan yang sudah lama menantikan detik ini.
Begitupun, timbul persoalan, dengan mewujudkan kelab lain menggunakan nama Kelantan, adakah sesuai untuk dikatakan ‘Kelantan is Back’?
Sejauh mana penerimaan penyokong, sedangkan Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) yang membawa nama Kelantan itu sendiri dilihat sukar untuk mendapatkan fanbase yang kuat.
Bekas CEO Kongsi Pandangan
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TRW Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid, turut berkongsi pandangannya mengenai perkara ini.
Muzakkir menyatakan pasukan yang disebut akan kembali memberi nyawa kepada bolasepak Kelantan haruslah menggunakan kerangka pasukan asal (TRW Kelantan FC milik Norizam Tukiman) dan bukannya pasukan baru yang ditubuhkan dengan sekadar meletakkan nama Kelantan.
“Kerangka ini perlu diperolehi, barulah boleh kita katakan kemunculan semula bagi menghidupkan zaman kegemilangannya yang menggegar negara suatu ketika dahulu.
“Jika kerangka asal ini tidak boleh diperolehi sama menerusi pembelian atau rundingan dengan pemilik, Zamsaham maka kemunculan semula tidak berlaku walaupun dengan tertubuhnya kelab baru dan nama baru yang hampir sama dengan Kelantan FC.
“Sudah tentu penyokong mahukan kerangka yang lama untuk berwajah baru,” katanya dipetik dari laporan BH Sukan.
Sebagai makluman, Kelantan mendominasi bolasepak tanah air sekitar tahun 2010-2013 dengan kemuncak pencapaian mereka adalah menjulang treble pada 2012.
Selepas itu, masalah pentadbiran dan kewangan menyaksikan pucuk pimpinan silih berganti sehinggalah pasukan itu dibeli Zamsaham pada 2020.
Namun Zamsaham juga gagal mengurustadbir pasukan dengan baik, menyaksikan penyertaan mereka dalam Liga Malaysia 2024 dibatalkan, malah pasukan itu juga tidak dapat menyertai saingan Liga A1 Semi-Pro selepas gagal melengkapkan pendaftaran.