HomeSukanBukan Mudah Liverpool Pertahan Kejuaraan EPL Musim Ini

Bukan Mudah Liverpool Pertahan Kejuaraan EPL Musim Ini

Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui musim baru English Premier League (EPL) akan menjadi musim yang sukar buat kelabnya tatkala mereka turun dengan reputasi sebagai penyandang kejuaraan.

Selepas membawa Liverpool menjulang kejuaraan liga divisyen utama England ke-20 pada musim pertama sebagai pengurus, Arne Slot berusaha membina kekuatan pada musim panas yang turut diselubungi tragedi kematian Diogo Jota.

Mereka berbelanja besar, dan sudah menghabiskan £260 juta (AS$350 juta) untuk mendapatkan Florian Wirtz, Hugo Ekitike, Milos Kerkez dan Jeremie Frimpong.

Namun, selepas kehilangan Luis Diaz dan Darwin Nunez, mereka masih belum selesai memperkukuh bahagian serangan dan dijangka akan membuat bidaan baharu untuk Alexander Isak, dengan Newcastle menuntut rekod yuran perpindahan Britain bagi penyerang Sweden itu.

Pesaing Liverpool berharap Wirtz dan Ekitike mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan cabaran EPL selepas cemerlang di Bundesliga Jerman, sementara masih terdapat keraguan di bahagian pertahanan skuad Slot.

Slot sendiri menyatakan pasukannya perlu bertahan dengan lebih baik selepas aksi longgar di pramusim disusuli kekalahan kepada Crystal Palace dalam Perisai Komuniti pada Ahad, walaupun dua kali mendahului.

Selepas tiga musim berturut-turut menamatkan saingan di tempat kedua, Arsenal amat merindui kejuaraan liga pertama dalam tempoh 22 tahun dan telah memberi sokongan besar kepada Mikel Arteta dengan pelaburan hampir £200 juta lagi di pasaran perpindahan.

Pemain antarabangsa Sepanyol, Martin Zubimendi, akan menjadi penggerak baharu di tengah padang, manakala pembelian Christian Norgaard, Cristhian Mosquera, Noni Madueke dan Kepa Arrizabalaga menambah kekuatan skuad.

Namun, musim Arsenal mungkin akan ditentukan oleh sama ada Viktor Gyokeres mampu menjadi jawapan kepada masalah mereka mencari penyerang prolifik.

Penyerang Sweden itu menjaringkan 97 gol dalam 102 perlawanan sepanjang dua tahun di Sporting Lisbon, tetapi gagal menyerlah dalam pengalaman sebelumnya di Liga Perdana Inggeris.

Selepas tidak berjaya di Brighton, Gyokeres menjaringkan 41 gol dalam 121 perlawanan di divisyen kedua England bersama Coventry dan Swansea.

“Dia pemain yang, bila diberikan ruang satu lawan satu, dia akan hancurkan anda,” kata Arteta mengenai penyerang baharunya itu.

City pula kehilangan takhta musim lalu selepas rekod empat kejuaraan berturut-turut berakhir, apabila prestasi merosot tanpa pemenang Ballon d’Or, Rodri.

Pemain Sepanyol itu disisihkan hingga September akibat kemunduran dalam proses pemulihan kecederaan lutut serius, namun City telah menyegarkan skuad dengan tambahan Rayan Ait-Nouri, Tijjani Reijnders dan Rayan Cherki.

Selepas musim tanpa trofi pertama sejak 2016/17, City menjangkakan untuk kembali bersaing merebut gelaran.

Chelsea, yang kali terakhir selain City dan Liverpool memenangi gelaran pada 2017, menunjukkan mereka kembali menjadi kuasa besar dengan menjuarai Piala Kelab Dunia di AS bulan lalu.

The Blues menamatkan saingan di tempat keempat, 15 mata di belakang Liverpool musim lalu, namun dasar perpindahan mereka yang banyak melabur pada bakat muda mula membuahkan hasil.

Joao Pedro membuat impak segera dengan tiga gol dalam tiga perlawanan di Piala Kelab Dunia selepas perpindahan bernilai £55 juta dari Brighton, dan mungkin menjadi penyelesaian kepada masalah Chelsea mencari penyerang kelas dunia.

Manchester United pula mengubah barisan serangan dengan pembelian Benjamin Sesko, Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo selepas menamatkan saingan di tempat ke-15 musim lalu.

Menewaskan United dalam final Liga Europa tidak cukup untuk mengekalkan jawatan Ange Postecoglou sebagai pengurus Tottenham, dengan bekas bos Brentford, Thomas Frank, mengambil alih di London Utara.

Tiga pasukan yang baru dinaikkan — Leeds, Sunderland dan Burnley — berazam mengelak daripada mengulangi trend membimbangkan bagi keseimbangan liga.

Dua musim berturut-turut sebelum ini, kesemua tiga pasukan yang baru dinaikkan pangkat terus tersingkir semula, mencerminkan jurang besar antara kemewahan Liga Perdana dan divisyen kedua yang semakin melebar.

Sumber: NSTP Sports via AFP

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!