HomeSukanBukan Selalu Dapat Main Final dan Julang Piala - Ronnie Fernandez

Bukan Selalu Dapat Main Final dan Julang Piala – Ronnie Fernandez

Penyerang Selangor, Ronnie Fernandez tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dapat menyumbang kepada Selangor FC menjulang piala pertama selepas 10 tahun.

Pemain berasal dari Chile itu, menyumbang satu gol di separuh masa pertama, ketika Red Giants membelasah PDRM FC 4-0 dalam aksi final kedua, seterusnya menang agregat 7-0.

Menurut Ronnie: “Saya gembira untuk menjadi juara bersama Selangor. Sebagai seorang pemain bola sepak bukan selalu dapat bermain dalam perlawanan akhir dan menjulang piala. Ia tidak mudah. Jadi, amat penting buat diri saya, semua pemain dan pasukan dapat memastikan Selangor meraih kejuaraan.”

Manakala ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi pula berpendapat kejayaan menjulang Piala Cabaran bukan sahaja penting untuk meneruskan sejarah gemilang kelab, tetapi dapat membakar motivasi pemain untuk mencatat kejayaan lebih besar.

“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah buat Selangor. Bagi kami ini adalah satu pencapaian penting. Namun, untuk hari-hari akan datang, kita kena bersedia dengan perlawanan seterusnya dan perlu mengekalkan aksi konsisten.

“Cabaran dan perjalanan kami masih jauh dan penyokong diharap terus menyokong kami. Kami sedar perlu terus bekerja keras untuk meningkatkan tahap pasukan,” ujarnya.

Baca Juga: Selangor Muncul Juara Piala Cabaran Penuh Bergaya

Dalam aksi di Stadium MBPJ, Selangor membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Ali Olwan disusuli jaringan Yohandry Orozco pada minit ke-10. Ronnie menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-31 sebelum Orozco melengkapkan kemenangan 4-0 di separuh masa kedua.

Kejayaan muncul juara Piala Cabaran juga bermakna Selangor menjadi pasukan pertama dalam Liga Malaysia untuk menjulang semua piala dipertandingkan di pentas domestik.

Sebagai pasukan paling berjaya dalam arena bolasepak tempatan, Selangor sebelum ini telah merangkul kejuaraan liga sebanyak lapan kali membabitkan saingan dua divisyen iaitu Liga Malaysia, Liga Semi Pro Divisyen Satu dan Divisyen Dua, Liga Perdana, Liga Perdana Satu, Liga Perdana Dua, dan terakhir menjulang Liga Super pada 2010.

Tidak ketinggalan, Selangor juga pernah menjulang Piala FAM sebanyak tujuh kali dan Piala Sumbangsih sebanyak lapan kali.

Manakala dalam pentas Piala FA, Selangor telah muncul juara sebanyak sebanyak lima kali dengan yang terakhir adalah pada 2009, setelah menewaskan Kelantan menerusi tendangan penalti.

Dalam saingan Piala Malaysia pula, siapa boleh menafikan rekod cemerlang Selangor, telahpun menjulang piala yang merupakan antara tertua di rantau Asia Tenggara itu sebanyak 33 kali – kali terakhir dengan menewaskan Kedah pada 2015.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!