Malaysia gah melakar kemenangan keempat berturut-turut dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 dengan menewaskan Laos, sekaligus mengungguli Kumpulan F dengan 12 mata.
Hanya juara kumpulan akan layak ke Piala Asia di Arab Saudi, dan kelebihan tiga mata ke atas Vietnam meletakkan Malaysia ketika ini dalam laluan yang selesa.
Namun masih ada kebimbangan besar kerana skuad negara berdepan potensi ditolak enam mata susulan dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan oleh FIFA.
Selain itu, tiada kepastian sama ada tujuh pemain yang digantung iaitu Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Hector Hevel, Joao Figueireido, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces akan dibenarkan mewakili semula Harimau Malaya selepas ini.
Ditanya kepada Peter Cklamovski situasi tersebut, pengendali itu tidak mahu pening kepala memikirkan perkara yang belum berlaku.
“Tidak perlu fikirkan perkara jika, jika, jika, jika, jika … kerana ia membuang masa. Perkara itu bukan di bawah kawalan kita, sebaliknya kita mahu kekalkan mentaliti pasukan.
“Pada masa ini, kami tidak pasti apakah yang akan berlaku. Sebagai seorang jurulatih, saya mahu menjaga suasana pasukan dengan sebaiknya termasuk mentaliti pasukan agar tidak terganggu.
“Jadi saya lebih mahu memberi fokus pada apa yang boleh kami kawal (menang dalam setiap perlawanan) dan itulah perkara yang perlu saya pastikan dalam pasukan.
“Mentaliti kami adalah untuk membina sebuah pasukan yang kuat. Apa yang akan berlaku kemudian, biarkan ia berlaku dan kita perlu bergerak ke hadapan,” katanya kepada pemberita selepas kemenangan 5-1 ke atas Laos.
Malaysia yang ketinggalan 0-1 di babak pertama, bangkit dengan lima gol di separuh masa kedua menerusi jaringan Faisal Halim, Romel Morales (dua gol), Paolo Josue, dan gol sendiri pemain lawan.