“Apa lagi yang boleh saya buat?” Demikian keluh ketua jurulatih skuad kebangsaan Peter Cklamovski yang mengakui sudah letih melayan dakwaan sesetengah pihak terutamanya penyokong Indonesia mengenai susur galur pemain warisan baharu Harimau Malaya.
Kemenangan 4-0 ke atas Vietnam semuanya menerusi jaringan pemain warisan – dua dijaringkan pemain warisan baru – membuka laluan kepada tercetusnya pertikaian mengenai kesahihan latar belakang beberapa pemain termasuk Facundo Garces, Joao Figueiredo, Imanol Machuca dan Rodrigo Holgado.
Memetik laporan BH Sukan, Cklamovski berkata, dia mahupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah berulang kali menjawab persoalan ditimbulkan namun perkara berkenaan terus ‘dimainkan’ pihak tidak bertanggungjawab.
“Sejujurnya saya sudah letih. Sudah berminggu-minggu sejak perlawanan menentang Vietnam, tetapi isu ini masih diperkatakan.
“Saya sudah melupakan perlawanan itu dan kini fokus kepada aksi seterusnya. Kami sudah menerima dokumen daripada kerajaan Malaysia dan kelulusan FIFA sebelum perlawanan menentang Vietnam.
“Saya tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk membuktikan kesahihan pemain itu,” katanya kepada pemberita.
Tambah Cklamovski lagi, “Machuca sanggup meninggalkan anaknya yang baharu lahir demi bermain untuk Malaysia , manakala Holgado menaiki penerbangan jauh dan pulang serta merta selepas perlawanan untuk kembali ke kelabnya.
“Saya tidak tahu apa lagi bukti yang diperlukan untuk menunjukkan komitmen mereka kepada Malaysia. Indonesia sudah lama menaturalisasi pemain sebelum kita, dan saya baca Vietnam juga mengubah undang-undang mereka untuk membolehkan naturalisasi.
“Pemain ini bermain untuk Malaysia, tidak kira dari mana asal mereka dan mereka perlukan sokongan rakyat Malaysia,” katanya.