HomeSukanDetik Paling Sukar Dalam Karier Bolasepak

Detik Paling Sukar Dalam Karier Bolasepak

Pemain pertahanan KL Rovers, Amer Saidin, menyifatkan situasi dihadapi pasukannya ketika ini adalah detik paling sukar sepanjang karier bola sepak profesionalnya.

Pemain berpengalaman luas berusia 33 tahun itu tidak menolak kemungkinan dia dan rakan sepasukan akan membuat aduan rasmi kepada pihak sepatutnya jika masih tidak ada jalan penyelesaian.

“Kami sedang berbincang satu sama lain, masih bersabar dan beri masa untuk mereka selesaikan masalah ini. Tujuh bulan bukan singkat, masing-masing ada keluarga sendiri.

“Saya sendiri perlu keluarkan wang simpanan, jual barangan yang kami sayang dan semestinya terpaksa meminjam untuk meneruskan hidup. Keadaan sekarang hanya bermain bola sepak untuk diri sendiri.

“Ada pemain yang terpaksa buat dua kerja, ada yang hantar isteri pulang ke kampung dan dipaksa keluar rumah. Saya maklumkan kepada mereka agar hadir latihan dan perlawanan untuk diri sendiri. Mungkin tahun ini ujian, tahun depan ada rezeki,” katanya.

Amer Saidin merupakan bekas pemain Harimau Muda dan menyertai JDT pada 2015 dan kemudiannya menjadi tonggak skuad JDT II selama beberapa musim. Dia kemudian keluar daripada zon selesa dengan menyertai PJ City dan beberapa kelab lain.

Sementara itu, bagi seorang lagi pemain KL Rovers, Muhammad Faiz Mazlan, mengakui tidak pernah menyangka bakal berdepan situasi sebegini.

Tonggak utama berusia 27 tahun itu percaya para pemain sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin dan berharap pihak pengurusan juga melakukan hal yang sama.

“Ini pertama kali dalam karier saya tidak menerima sebarang pendapatan dalam tujuh bulan, jika ditanya pelbagai barangan sudah digadai.

“Cuma kami sebagai pasukan masih menanti pendapatan kami. Kami masih tunaikan tanggungjawab kami datang berlatih dan kami harap mereka juga dapat melakukan perkara sama,” tambahnya.

Duit Ditolak, Tiada Caruman Dibuat

Terdahulu, pengendali KL Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail, telah mengemukakan aduan berkaitan isu gaji yang dihadapinya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Amateur Football League (AFL) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).

Menurut Wan Mustaffa, laporan juga dibuat kerana khuatir jumlah sebenar yang tidak tertakluk kepada tunggakan gaji tetapi termasuk bonus dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan hilang sekiranya isu itu dibiarkan berlarutan.

“Saya buat laporan melibatkan tunggakan gaji saya sahaja. Ini kerana saya khuatir hilang pengiraan jumlah sebenar yang perlu dibayar sekiranya masalah ini dibiarkan berlarutan tanpa laporan rasmi.

“Dalam slip gaji terdapat penolakan KWSP tetapi tidak dibayar kepada KWSP sejak tahun lalu. Laporan rasmi juga dibuat meliputi tunggakan gaji, bonus kemenangan dan muncul naib juara Liga M3 musim lalu dan KWSP.

“Laporan juga disahkan peguam pesuruhjaya sumpah dan majikan mengetahui tentang perkara ini. Saya harap laporan rasmi ini dapat mendidik pemain-pemain supaya menggunakan saluran yang betul agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya,” kata Wan Mustaffa.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!