“Sebenarnya perlawanan itu, saya rasa macam kita bukan sahaja jatuh ditimpa tangga, malah seperti jatuh ditimpa balak,” demikian kata Dato’ Dollah Salleh, mengenai skuad Harimau Malaya dibelasah 10-0 ketika di bawah bimbingannya sedekad yang lalu.
Tarikh 3 September 2015 menjadi detik hitam dalam sejarah bolasepak negara apabila skuad kebangsaan diaibkan tanpa belas kasihan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia di Abu Dhabi.
Ia sekaligus bukan sahaja kekalahan terbesar dalam karier kejurulatihan Dollah, tetapi turut memperbaharui rekod kekalahan terburuk dalam sejarah skuad Harimau Malaya, sekaligus menggantikan kekalahan 2-8 kepada New Zealand pada 1967.
Mengakui kisah hitam itu masih membelenggunya, Dollah pernah menganggap karier bola sepaknya sudah tamat sebaik kekalahan memalukan itu.
“Dunia jadi gelap betul dan saya rasa betul-betul kecewa. Kalau kita nak cerita mengenai perlawanan itu sensitif juga. Saya tidak mahu bercerita banyak mengenainya.
“Saya rasa seolah-olah diri saya sudah habis, dunia bola sepak saya sudah habis. Selepas (Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia) Tan Sri Hamidin (Mohd Amin) telefon saya, saya terus isytiharkan yang saya mengambil tanggungjawab, saya letak jawatan.
“Selepas pulang, memang saya tidak boleh tidur malam. Berjalan keluar rasa seperti orang pandang dan berkata macam-macam tetapi saya masih kuat,” katanya dalam rancangan Bola Itu Life disiarkan Astro Arena.
Pada perlawanan itu, Malaysia ketinggalan 7-0 di separuh masa pertama dan UAE menambah tiga di separuh masa kedua dengan jaringan dihasilkan oleh Ahmed Khalil (4 gol), Ali Mabkhout (3 gol), Mohamad Salem, Habib Al Fardan dan Juma Mohamed Ahmad Gharib.
Tiga kali penjaga gol ditukar, dengan Khairul Fahmi Che Mat bermula dalam kesebelasan utama sebelum digantikan pada minit ke-29 pada kedudukan 4-0.
Zamir melepaskan tiga lagi gol dan kemudian terpaksa digantikan kerana kecederaan pada minit ke-62 oleh Khairul Azhan Khalid.