Tonggak Selangor, Faisal Halim meletakkan harapan tinggi musim baru Liga Malaysia akan menjadi musim yang jauh lebih baik buat diri dan juga pasukan.
Pemain lincah itu terlepas sebahagian besar musim lalu dan pada satu ketika berdepan situasi mengucapkan selamat tinggal kepada bolasepak gara-gara insiden simbahan asid.
Semakin mendapat rentak dan berjaya perlahan-lahan memulihkan keyakinan, Faisal tekad membantu Selangor memulakan musim dengan positif.
Red Giants akan berdepan juara Liga Super 11 kali, Johor Darul Takzim dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 8 Ogos nanti, yang juga perlawanan pembuka tirai Liga Super musim baru.
Baginya, ia peluang terbaik membina momentum seterusnya menjadi titik tolak bagi mengharungi musim yang sudah tentu cukup mencabar buat skuad Katsuhito Kinoshi.
“Kita sudah membuat persiapan lebih dua bulan dan semua pemain bersedia beraksi. Kita ke sana untuk mendapatkan keputusan positif. Perlawanan yang sukar tetapi dalam bola sepak, tiada yang mustahil,” ujar Faisal.
Untuk rekod, JDT telah memenangi lapan daripada sembilan aksi Piala Sumbangsih sejak 2015. Hanya sekali mereka tewas iaitu pada 2017 kepada Kedah, menerusi penentuan penalti manakala pada musim lalu mereka mendapat kemenangan percuma setelah Selangor menarik diri atas faktor keselamatan.
Selangor juga tidak pernah menewaskan JDT dalam 19 perlawanan, kali terakhir mereka berbuat demikian adalah dalam Liga Super 2017 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 menerusi jaringan Amri Yahyah dan Andik Vermanshah.
Jadi ia pastinya menarik untuk menantikan jika Selangor akhirnya akan berjaya meleraikan badi sekian lama dan sekaligus menghadiahkan JDT kekalahan pertama dalam Liga Malaysia selepas lebih tiga tahun.
Sejak tewas dalam aksi final Piala Malaysia 2021 kepada KL City, JDT tidak pernah tewas kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia. Mereka tewas tujuh kali, tetapi kesemuanya kepada pasukan AFC/ACLE.