“Setiap sen yang dibelanjakan direkodkan dan tidak disalahgunakan,” demikian tegas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai bagaimana mereka menguruskan peruntukan sebanyak RM15 juta yang diterima daripada kerajaan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata FAM telah mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP), malah laporan perbelanjaan juga dihantar kepada pihak-pihak yang berkaitan seperti yang ditetapkan kerajaan.
“Untuk makluman, penyata perbelanjaan dihantar kepada Kementerian Kewangan setiap tiga bulan sekali. Pada masa sama, FAM menghantar penyata perbelanjaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) setiap bulan.
“KBS bertanggungjawab memantau perbelanjaan mengikut kelulusan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, sebagai mengulas laporan sebuah portal berita tempatan baru-baru ini yang membangkitkan mengenai ketelusan badan induk itu menguruskan dana kerajaan.
Sebagai makluman, pada 3 September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi memperkasa pasukan bola sepak kebangsaan.
Peruntukan tersebut merupakan komitmen kerajaan untuk kebajikan, latihan dan pengurusan skuad Harimau Malaya.
Dalam masa sama, Noor Azman turut menekankan bahawa peruntukan berkenaan dibelanjakan sepenuhnya untuk pasukan Harimau Malaya dan dimasukkan dalam laporan perbelanjaan rasmi.
“Setiap sen daripada peruntukan kerajaan ini telah direkodkan dalam laporan perbelanjaan dan mengikut semua SOP kerajaan.
“Jadi, kita tidak sewenang-wenangnya menggunakan peruntukan itu kerana apa yang dibelanjakan adalah untuk pasukan kebangsaan, bukannya persatuan,” ujarnya.