Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkeyakinan tinggi mutu pengadilan akan terus bertambah cemerlang dalam saingan musim baru Liga Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S.Sivasundaram berkata, secara keseluruhan prestasi pengadil musim lalu menunjukkan peningkatan yang ketara, khususnya selepas pelaksanaan Sistem Bantuan Video (VAR).
Justeru, beliau berharap prestasi cemerlang pengadil akan dapat diteruskan sekaligus memastikan tahap pengadilan sentiasa berada pada aras terbaik.
“Kalau saya, sudah tentu saya mahukan ‘zero issue’. Kita harap tahun depan pun boleh dapat ‘zero issue’. Tapi kita kena faham, pengadil juga manusia dan mungkin boleh buat kesilapan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani pembaharuan perjanjian penajaan di antara FAM dan Kronos Malaysia sebagai penaja rasmi pakaian pengadil kebangsaan bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Tambah Sivasundaram, berdasarkan laporan penilai pengadil menunjukkan ketepatan keputusan pengadil meningkat kepada 98.07 peratus pada musim lepas berbanding 88.76 peratus pada musim 2023–2024.
Menurutnya, laporan rasmi daripada penilai pengadil itu juga mendapati hanya lima insiden membabitkan keputusan pengadil direkodkan sepanjang 208 perlawanan musim lalu.
“Daripada lima laporan itu, dua memang kesilapan pengadil dan tiga lagi terbukti mereka buat keputusan yang tepat. Statistik ini penting supaya kita tidak sewenang-wenangnya menyalahkan pengadil.
“Kita ikut laporan penilai yang sah. Kalau ada kelemahan, kita terima dan akan terus perbaiki,” katanya.
Dalam masa sama, Sivasundaram turut menghargai sebarang pandangan dan kritikan membina daripada pelbagai pihak dalam usaha mempertingkatkan lagi mutu pengadilan di negara ini.
“Kita hormati semua pandangan. Mana yang kita kurang, kita akan cuba perbaiki. Apa yang penting, kita mahu pengadil beraksi dengan integriti dan profesionalisme tinggi,” ujarnya.