Selepas lebih sebulan memulakan latihan pra-musim, kem Pahang Rangers akhirnya meraikan kehadiran semula mesin-gol mereka Felipe De Souza sekaligus membawa khabar ceria buat penyokong pasukan itu.
Ketiadaan Felipe yang pulang ke Brazil selepas berakhir saingan musim 2024 dalam latihan pra-musim sebelum ini menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai masa depannya.
Apatah lagi, dia juga tiada dalam senarai pemain yang diumumkan keluar oleh pasukan juara berganda MPFL dan Malaysia Futsal Cup 2023 itu.
Baca Juga: Pahang Rangers Hilang Khidmat 4 Pemain Tonggak
Baca Juga: Syed Aizad Sertai JDT Selepas Tinggalkan Selangor
Namun, segala persoalan dinoktahkan, Otai Station difahamkan dia mendapat pelepasan untuk melapor diri lebih lewat berbanding pemain lain, iaitu pada minggu lalu.
“Lihat siapa yang kembali, mesin gol Pahang Rangers!,” menurut kemaskini di laman rasmi pasukan itu yang disambut dengan maklumbalas positif penyokong.
Apa yang sebenarnya menjadi kebimbangan penyokong Tok Gajah adalah pemain pasukan itu ‘hilang mengejut’ dari kem latihan dan secara tiba-tiba menyertai pasukan lain, sepertimana berlaku pada musim lalu.

Sebagai rekod, Felipe pada musim lalu meledak 24 gol untuk muncul penjaring terbanyak saingan liga futsal tempatan, mengatasi Isaias Figueiredo dengan kelebihan satu gol.
Pahang Rangers pada musim baru kehilangan kelibat empat pemain iaitu Saiful Nizam Mohd Ali, Sufri Shamil, Nazreen Saudi serta Guntur Sulistyo Ariwibowo.
Setakat ini, hanya Razin Rahim dari Shah Alam City diumumkan sebagai wajah baru yang akan memperkuatkan skuad kendalian Luis Fonseca itu.