FIFA tidak akan memindahkan pejabat serantau mereka dari Kuala Lumpur ke Jakarta.
Sumber badan induk bola sepak dunia itu mengesahkan bahawa pejabat FIFA di KL Eco City masih beroperasi seperti biasa, sekali gus menafikan khabar angin mengenai pemindahan tersebut sebagai “tidak berasas”.
“Pejabat FIFA di KL masih beroperasi seperti biasa dan tidak akan berpindah ke Jakarta. Ia dakwaan tidak berasas,” kata sumber tersebut kepada Timesport.
Sejak beberapa hari lalu, tersebar khabar angin FIFA bakal menutup operasi pejabatnya di Kuala Lumpur dan Singapura menjelang hujung Ogos ini, sebelum secara rasmi memulakan operasi dari ibu pejabat baharu di Indonesia bermula 1 September 2025.
Langkah ini menyaksikan semua kakitangan dari pejabat pembangunan FIFA di Kuala Lumpur dan pejabat komersial di Singapura akan dipindahkan ke Indonesia, menjadikan republik itu sebagai pusat operasi serantau baharu FIFA di Asia Tenggara.
Keputusan strategik ini dipercayai didorong oleh sokongan kuat kerajaan Indonesia dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), yang bukan sahaja menawarkan lebih banyak insentif cukai, malah turut menyediakan pelbagai kemudahan dan kelebihan berbanding lokasi sedia ada.
Dengan penafian ini, Kuala Lumpur kekal sebagai salah satu hab strategik FIFA di rantau ini, memperkukuh kedudukannya dalam landskap pembangunan bola sepak antarabangsa.
Sebagai rekod, ibu pejabat serantau FIFA di KL telah beroperasi sejak awal tahun 2018 dan berfungsi di bawah inisiatif Program FIFA Forward.
Ia kini diketuai oleh Sanjeevan Balasingam, pengarah FIFA bagi rantau Asia-Oceania.
Pejabat ini memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur dan program bola sepak di seluruh Asia dan Oceania, termasuk pengurusan kontrak, inisiatif pembangunan akar umbi, serta pelaksanaan dan pemantauan projek-projek yang dibiayai oleh FIFA.