“Tewas, tapi belum tersingkir dan kami akan layak ke final.”
Itu keyakinan dilaungkan pengendali Pahang Rangers, Luis Fonseca setelah tewas 3-5 kepada JDT dalam aksi separuh akhir pertama Malaysia Futsal Cup pada Sabtu.
Menurut Fonseca, keyakinan tersebut berdasarkan kemampuan pemainnya menyaingi JDT, malah mengakui ini adalah aksi terbaik dalam tiga pertemuan menentang skuad juara bertahan itu tahun ini.
“Ia perlawanan yang sengit, dan sepertimana selalu apabila dua pasukan ini bertemu, kami cipta peluang, mereka cipta jaringan.
“Kami bermain dalam keadaan ketinggalan sepanjang perlawanan, mencipta banyak peluang, merugikannnya, tidak cukup tajam di depan gol ataupun hantaran akhir. Manakala JDT pula skor setiap kali membuat serangan balas (counterattack).
“Saya rasa ini adalah permainan terbaik kami sepanjang berdepan mereka (tahun ini), tetapi keputusan tidak menyebelahi. Untuk aksi timbal balik, kami mempunyai peluang cerah untuk mara sekiranya bermain seperti ini, tetapi dengan lebih tajam di depan gol.
“Kami perlu lebih agresif, menyamai level permainan JDT, mematahkan serangan mereka, lebih direct sama ada dengan atau tanpa bola, dan bermain sebagai satu pasukan. Tahniah kepada pasukan atas prestasi yang baik, dan saya ingatkan mereka kita akan bermain di final,” ujar Fonseca.
Tambah Fonseca lagi: “Apa yang terjadi menunjukkan pasukan yang bermain baik, menguasai perlawanan dan mencipta banyak peluang tidak selalunya menang, tetapi pasukan yang menjaringkan gol. Pahang Rangers menguasai, JDT menjaringkan gol, itu yang terjadi.
“Tetapi saya tegaskan sekali lagi, keyakinan saya tinggi kita akan menang dan layak ke final, jika kita lebih tajam dalam aksi kedua, dan tidak buat kesilapan di pertahanan. Walaupun tewas aksi pertama, final akan menjadi milik kami.”
Dalam aksi di SUKPA yang sekali lagi “fullhouse” dengan kehadiran hampir 3,000 penyokong, JDT membuka jaringan pada minit kedua menerusi Firdaus Ambiah.
Felipe de Souza mengikat kedudukan pada minit ke-11 dan Harith Naim meletakkan Pahang Rangers di depan 2-1 pada minit ke-14.
Begitupun jaringan sendiri Razin Rahim, Saad Sani dan dua gol Ridzwan Bakri memastikan JDT pulang sebagai pemenang manakala jaringan Iqhmal Najmie memastikan Pahang Rangers bertandang ke Pasir Gudang dengan defisit dua gol untuk diterbalikkan.